Friday, December 30, 2011

Selamat Tahun Baru 2012


Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari qiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari qiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut”. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari qiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”
-Surah al-A'araf ayat 187-

Lets countdown! Saya titipkan ucapan itu untuk teman-teman di rumah facebook saya. Mungkin ramai yang sibuk memikirkan azam baru. Bagi saya, hari-hari perlu azamkan? Sebelum tidur saya selalu azamkan diri untuk bangun subuh sebelum teman-teman bilik sebelah terbangun dari buai tidur. Bangun tidur, saya azamkan untuk ke kelas dengan semangat yang paling "bersemangat". Petangnya saya berazam untuk membelek helaian buku atau tugasan yang semakin menyempitkan masa saya di kampus. (Beberapa hari lagi untuk minggu peperiksaan, saya ada dua lagi tugasan yang belum disiapkan, ah! penyeksaan bukan?) Tapi semuanya akan mendewasakan. Saya tak pernah salahkan mereka. Merekalah insan yang mengajar saya erti kehidupan yang sebenar. Realiti yang perlu ditempuhi dan kadang-kadang ada wajah membenci di sebalik ruang usaha kita. Tahun ini, banyak yang pelajari. Menjadi orang yang memimpin, walaupun saya tahu ada yang memprotes pimpinan saya. Tapi itulah realiti. Dalam setandan pisang, takkan semuanya boleh dimakan. Saya berharap rakan-rakan semua berbahagia menyambut kedatangan tahun baru ini. Dan saya masih tertanya selepas mendengar khutbah di Masjid UKM siang tadi, apakah hari-hari kita yang lepas tahun 2011 ini digunakan sebaiknya? Berapa kali saya membaca al-Quran dan hadis serta mengamal ajarannya yang ditinggalkan oleh Rasulallah s.a.w untuk kita semua? Apakah amal ibadat saya benar-benar ikhlas dan tawaduk untuk Allah s.w.t? Semuanya saya jadikan tanda soal yang memantaskan saya menginsafi hari-hari yang lalu. Semoga tahun baru 2012 dan Hijrah 1433 yang baru kita sambut menjadi satu titik permulaan yang baru untuk kita semua. Selamat tahun baru semuanya!

Daripada Ibn Umar r.a., katanya :  "Rasulullah SAW telah memegang bahuku dan bersabda : ‘ Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau, atau pengembara. ‘ Maka Ibn Umar berkata : “Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi. Dan jika engkau berada di waktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit. Dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati."

Sunday, November 27, 2011

Bahawa Kematian itu Satu Kepastian

Ketika saya mengadap skrin laptop saya yang semakin canggih kerana dapat menyiarkan rancangan TV secara terus, tiba-tiba pandangan mata saya tertumpu pada notification  di sebelah atas kiri ruang facebook saya. Ada berita dukacita dari rakan saya. Adindanya yang tercinta menyambut panggilan Ilahi kerana kemalangan. Segera saya hantarkan salam takziah. Kata rakan saya, dirinya terkejut dengan berita itu. Sedihkan? Tapi itulah kepastian. Bukankah dijanjikan Allah tentang kedatangan kematian itu tidak mengira akan siapa kita. Tapi usia yang muda meninggalkan bumi Tuhan ini amat menginsafkan. Mengapa tidak Tuhan biarkan yang tua pergi terlebih dahulu? Tetapi kekuasaan Allah mengatasi segala. Dialah Tuhan yang selayak-layaknya disembah. Semoga roh adik rakan saya ini tenang dan damai di sana. Saya insafi. Tiap kejadian ada hikmahnya. Mudah-mudahan kita dalam golongan orang-orang yang mendapat redha Allah. InsyaAllah.
Asalnya Kain Jadi Pakaian, Ditiup Angin Jatuh ke Lumpur,
Biar Menangis Dalam Buaian, Jangan Menangis di Dalam Kubur.

Saturday, November 26, 2011

Salam Maal Hijrah

Ketika saya membaca doa akhir tahun, sebak hati saya membaca makna doa. Antaranya: Ya Allah wahai Tuhan kami, perkara-perkara yang telah kami lakukan daripada perbuatan-perbuatan yang Engkau larang dalam tahun ini maka kami belum bertaubat daripadanya padahal Engkau tiada meredhai dan Engkau memang tiada lupakannya (Tuhan tiada bersifat lupa) dan Engkau berlembut tiada mengazabkan kami malam memberi peluang supaya kami bertaubat selepas kami menceburkan diri melakukan maksiat itu. Semoga keampunan milik kita, salam tahun baru Hijrah. Peristiwa Hijrah paling agung apabila Rasulullah s.a.w berhijrah dari kota Makkah ke kota Madinah atas perintah Allah s.w.t. Selamat menghayati penghijrahan suci. 

Hijrah Satu Pengorbanan

Wednesday, November 23, 2011

Sibuk

Hampir sebulan saya tak mencuci ruang rumah saya. Ada debu-debu yang mula menjadi penyeri yang tidak diundang. Kesibukan sebagai mahasiswa kata pensyarah saya. Hampir setiap minggu berprogram, hari ini amat mengujakan. Bertemu Dr. Zurinah Hassan dalam Program Bersama Tokoh Penulis Tanah Air anjuran kami di Kelab Pengajian Melayu. Bila saya melihat tokoh yang menulis puisi-puisi yang saya baca, saya rasa seperti berada dalam dunianya pada masa menulis. Mengujakan!

http://zurinahhassan.blogspot.com/


Monday, October 31, 2011

Harus Kuat

Temukan aku dengan cintaku Ya Allah
Sekuat mana kuat itu? Subjektifkan. Mungkin sekuat badai menghempas pantai. Atau sekuat akar mencengkam tanah. Mungkin juga sekuat guruh membisik bumi. Atau juga sekuat khalifah melontar jamrah. Saya perlu kuat. Lebih kuat dari badai, akar, dan juga guruh. Sekuat khalifah melontar jamrah di Mina. Tapi adakah hatinya sesuci batu-batu kecil yang ada di jalan-jalan menuju jamrah? Tiap kali tasbih berdetik-detik dijarinya, keluar kalam-kalam Tuhan dari bisik suaranya. Tapi cukupkah mengimamkan diri tanpa makmumnya? Terus saya dengari ayat-ayat suci dari juzuk-juzuk Allah. Ya, saya perlu insaf. Mungkin tidak seperti mereka. Mengajar kami tentang kalam Tuhannya, tapi tergelincir mencari Nur di sebalik bukit-bukit itu. Salam Aidiladha, semoga sekuat dan seteguh iman Nabi Ibrahim a.s. dan putera baginda Nabi Ismail a.s.

Monday, October 17, 2011

Mereka Yang Ditewas

Laungan azan yang masuk di ruang-ruang tingkap bilik saya sangat menginsafkan. Tapi, mengingatkan lagu-lagu sumbang dinyanyikan penari sebentar tadi benar-benar menggoncang roh jiwa saya. Tapi saya cuba lepaskan dengan hembusan tasbih suci Ilahi. Owh, mereka ditewaskan bukan? Sekarang, penari-penari mula mencari penari baru. Mengisi ruang-ruang penari yang sudah semakin lewat meninggalkan mereka. Saya? Tak pernah sekali ingin menarikan tarian yang sesekali menjengkilkan. Eh, biarkanlah si penunggu tua. Bukankah memang begitu rentaknya. Menyeru penarinya menarikan rentak kanan, tetapi dirinya tetap menarikan rentak kiri. Eh, biarkanlah!

Friday, September 30, 2011

Jangan Bunuh Penunggu Tua

Kadang-kadang saya memikirkan mereka. Masih bermain seloka lama. Tarinya masih lenggok sama. Lagunya masih disenandungkan mereka. Saya tidak mahu memikirkan mereka. Terutama si penunggu tua. Tapi apa yang pernah mereka lakukan pada saya, tidak pernah akan saya padamkan dari buku hidup saya. Hari ini si penunggu tua masih berbicara tentang saya. Saya tidak punya ilmu tinggi untuk mengetahui tiap kata dan langkah. Tapi saya punya lapis kedua yang memaksa saya meneka. Saya lihat tari si penunggu tua masih sama. Pernah dia katakan tari, lagu dan main saya semakin dibenci orang. Tapi hari ini, saya diberitahu beberapa pemain lain, mereka sudah jemu dengan rentak dan irama penunggu tua. Kenapa rentaknya masih sama. Tidak mahukah mereka mengubah rentak itu? Saya pernah berbicara bersama penunggu tua. Dia kata bukan dia punca rentak tari itu masih lama, tapi rentak saya bukan inang untuk mereka. Terus saya carikan guru-guru irama baru. Mereka ciptakan satu rentak baru untuk saya. Saya mula belajar rentak baru. Penuh santun dan budi. Tapi penunggu tua tetap mencabar saya. Saya tidak pernah rugi pada rentak tarinya yang semakin nampak silap tarinya. Saya biarkan mereka seperti membiarkan Si Luncai yang bersama labunya. Biarkan, biarkan, biarkan. Lagu itu mereka masih nyanyikan. Rentak itu masih mereka tarikan. Tapi mereka lebih tahu akan dosa rentak-rentak itu. Bukan saya yang menjatuhkan hukum. Tetapi si penunggu tua yang menuliskan tentang hukum-hukum Tuhan dalam helai-helai kitabnya. Biarkan dia pemain-pemain rentak baru. Yang bersamanya tetap dengan lagu lama. Kita siulkan irama-irama baru. Walau ada masanya siul kita itu tenggelam dek hentak langkah yang sumbang, tapi kita tetap punya rentak nan sama. Kita selalu membaca apa yang telah ditulis, tapi pernahkah kita menulis semula apa yang telah kita baca? Oh si penunggu tua.
Maafkan saja tarinya

Sunday, September 25, 2011

Salam Penghujung Syawal

Kesibukan lebaran dan persiapan menjelang kuliah yang baru melambatkan saya mengisi ruang-ruang kosong dalam blog saya ini. Keseronokan Aidilfitri yang pasti, telah saya isi dengan bertemu sanak saudara dan teman-teman. Sepanjang masa, ada kunjungan diterima. Berbual dan bertanya khabar. Kuliah yang akan bermula seminggu selepas lebaran memaksa saya untuk mempersiapkan diri dengan lebih cepat. Baju dan keperluan saya susun dengan rapi pada ruang beg yang kecil ruangnya. Yang pasti, baru sahaja 2 minggu kuliah bermula kesibukan semakin menghimpit. Pelbagai program berlangsung dan ia akan menjadi kenangan dan cabaran terindah. InsyaAllah.

Demi Masa

Saturday, September 3, 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Salam semuanya. Salam Lebaran Aidilfitri, maaf zahir dan batin buat teman-teman semua. Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan untuk umat Islam yang telah berusaha untuk mempertahankan diri dari segala perkara yang boleh membatalkan puasanya pada bulan Ramadhan. Aidilfitri sendiri memberi pengertian kembali kepada fitrah. Fitrah merupakan asal. Pada saya, asal yang ialah sesuatu yang masih baru dan belum pernah diubah. Seperti bayi yang baru lahir. Juga seperti kain putih yang belum dicorakkan. Namun kadang-kadang kita berlebihan dari sifat fitrah diri kita dalam menyambut lebaran. Perhiasan yang begitu mewah. Makanan yang begitu banyak. Pakaian yang cukup indah. Memungkinkan diri kita terjerumus dalam perkara yang dilarang dalam agama sendiri. Cukuplah sekadar bersederhana. Mengutamakan yang wajib, melakukan yang sunat dan yang harus, menghindar yang makhruh dan meninggalkan yang haram. Tetapi mungkin ada yang mengatakan Lebaran ini setahun sekali. Benar, sambutannya hanya setahun sekali. Namun konsep Hari Raya yang ialah apabila seseorang itu terhindar dari melakukan segala hal yang dilarang oleh agamanya. Oleh itu, Hari Raya akan disambut apabila tibanya Aidilfitri, Aidiladha dan apabila seseorang itu berjaya menghindarkan sesuatu perkara yang mendatangkan dosa pada dirinya dalam satu hari yang ada. Semoga Aidilfitri tahun ini memberi sinar baru buat kita seluruh umat Islam. Kerana Aidilfitri ini milik hamba-hamba Allah yang telah melaksanakan kewajipan yang dituntut ke atas diri kita. 

Sunday, July 31, 2011

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Alhamdulilah, sekali lagi diberikan kesempatan oleh Ilahi untuk berada dalam bulan yang penuh dengan keberkatan. Setiap amalan digandakan pahalanya. Istimewanya melebihi bulan-bulan lain yang ada. Azan maghrib tadi benar-benar menginsafkan saya. Terasa kelainan sekali. Saya harapkan ini bukan Ramadhan terakhir buat saya dan mereka. Tahun ini Ramadhan sedikit berbeza bagi saya. Walaupun kemeriahannya tetap sama seperti dulu. Pemergian buat selamanya nenda tercinta baru-baru ini begitu mengejutkan saya. Tapi tetap redha atas kehendakNya, kerana kita hamba pinjaman untuk sementara. Yang pasti, saya sempat menunaikan solat sunat Tarawikh di surau kampung saya tadi. 2 tahun saya kehausan untuk Tarawikh di halaman kampung sendiri. Bersama rakan-rakan sekampung yang sama bermain, sempat juga bertanyakan khabar dan pasti ada yang sudah berkeluarga. Kesempatan bertadarus sangat menyentuh hati saya. Teringat akan pertama kali Tadarus, semuanya masih kecil-kecil. Mampukah saya ulang semula kenangan itu atau hanya akan tersimpan dalam lipatan ingatan saya. Terima kasih Ramadhan yang telah mengembalikan ingatan saya semula bersama mereka. Saya teringat akan Khairil anak kecil di PERYATIM. Semoga Ramadhan yang penuh keberkatan ini menemukan saya dan dia. Salam Ramadhan semuanya!

Terima Kasih Yana, Poster yang Indah!

Friday, July 22, 2011

OPKIM&KAK 2011

Bermula dengan kertas kerja seawal bulan Mei 2011, saya dan rakan di PEMASRA menggerakkan jentera untuk memulakan langkah persediaan menuju Julai yang akan menjadi program pertama PEMASRA bersama ahli jawatankuasa yang baru. Bagai baru semalam saya bersama rakan duduk semeja berbincang mengenai perjalanan program. Hakikatnya sudah berlabuh tirai OPKIM pada kali ini. Saya menyedari akan pelbagai rintangan dan cabaran yang perlu ditempuh untuk memastikan kelancaran program ini. Namun, pelbagai masalah yang timbul, sedaya upaya saya dan rakan urusetia mahupun peserta program ini lakukan sebaiknya bagi mengatasi permasalahan yang ada. Kamilah keluarga baru. Membina harapan untuk anak bangsa Sarawak sendiri. Menabur budi bukan untuk disanjung setinggi-tingginya. Tapi kami inginkan sinar harapan untuk anak bangsa ini. Semoga kami dan mereka dirahmati olehNya, InsyaAllah. Terima kasih atas segalanya.

           
Kalau Tuan Mandi Perigi
          Hati-hati Dipatuk Sawa,
Kalau Ada Rezeki Lagi,
          Sama BerOPKIM Di Siri Kedua.


Kenangan Bersama Rakan Peserta

Semoga Kenangan Terus Tersimpan

Bersama Rakan Urusetia
(Jeaniel Tiada Dalam Gambar)

Tinggalkan Kami, Bukan Kenangannya

Terima Kasih Semua
          

Thursday, June 23, 2011

Tuesday, June 21, 2011

Roda

Hidup umpama roda. Adakala kita di atas. Selalunya kita di bawah. Kadang-kadang kita terlupa yang kita bercakap besar. Ya, mungkin saya sendiri.  Egokan diri saya memungkinkan hal itu. Lantas saya jadikan ianya pengalaman. Pengalaman yang akan mendewasakan. Mungkin saudara sendiri. Beribu mungkin budi dan bakti diberikan. Sehari dua teman-teman menghargainya. Walaupun ada masanya mereka menyebut bait pantun Melayu, Pisang emas bawa berlayar, Masak sebiji di dalam peti, Hutang emas boleh ku bayar, Hutang budi dibawa mati. Tetapi, sekali saudara dan mungkin saya melakukan kesilapan terus mereka melupakan budi yang ada. Mengingati akan kesilapan yang dilakukan dan terus menjadi kisah teladan. Ya, kisah teladan untuk sempadan. Bagaimana kisah budi yang lalunya menjadi bualan seketika mereka? Terus mereka lupakan. Tiada lagi kenangan. Buat saya dan saudara semua, kita jadikan pepatah Melayu ini untuk lebih berhati-hati menabur bakti, Buat baik berpada-pada Buat jahat jangan sekali.  Mungkin saudara selalu mendengar dan adakalanya terlalu biasa dan old school bait kata pepatah ini. Tetapi bagi saya, dalam pepatah ini, terselit banyak maknanya. Antara yang saya sendiri fahami, berbuat baik hendaklah berhati-hati kerana mungkin ada yang akan mengata tentang kebaikan yang kita lakukan membuatkan mereka rasa tidak selesa dan iri hati. Dan berbuat jahat jangan sekali mungkin seperti yang saya karangkan pada awal tadi tentang begitu sekejapnya budi yang ditaburkan dilupakan dan kesilapan yang akan dikenangkan. Inilah dunia. Penuh pancaroba. Semoga saya dan saudara tabah menghadapi dugaan dari Allah s.w.t yang pastinya punya hikmah yang istimewa. 

Tuesday, May 31, 2011

Selamat Hari Gawai

1 Jun pada setiap tahun merupakan hari sambutan Gawai bagi masyarakat Dayak di Sarawak yang merupakan Bumiputera Sarawak. Sambutan ini diadakan bagi meraikan kejayaan mereka selepas selesai musim menuai. Di Sarawak pada hari ini, semua masyarakat yang akan meraikan sambutan ini akan pulang ke kampung halaman seperti perayaan yang lain. Kesempatan bercuti digunakan untuk meraikan sambutan ini dan bertemu dengan keluarga dan kenalan yang lama ditinggalkan. Kepada rakan-rakan saya yang meraikan sambutan ini, Selamat Hari Gawai Gayu Guru Gerai Nyamai Lantang Senang!

Dari saya dan rakan-rakan PEMASRA

Sunday, May 22, 2011

Selamat datang Ke KFC

Saya dan teman-teman di tempat kerja
Kata orang, senyuman penawar duka. Tapi kadangkala, senyuman tak seindah biasa. Seperti saya ada kadangnya, senyuman diukir bukan kerana saya suka. Ada plastik di sebalik semuanya. Saya sendiri dapat rasakan. Senyumaan yang saya berikan itu, benar atau palsu. Arau juga selalunya memang palsu. Tapi saya sendiri menyedari, ada kalanya kepalsuan itu penting. Kerana ianya mampu melonjakkan kita, dari satu posisi yang cukup rendah kepada satu posisi yang cukup menyenangkan. Mungkin hanya duduk di hadapan komputer yang canggih ataupun hanya dapat menekan papan kekunci pada bahagian note pad. Saya juga tidak dapat memastikan, berapa lama saya dan mereka akan berada di situ. Mungkin indah hanya seketika. Indah bersama teman-teman yang menceriakan. Oh, makan di sini. Terima kasih dan datang lagi! (Teruskan senyuman walaupun palsu?)

Wednesday, May 18, 2011

16 Mei 2011

age is just a number
Saya tinggalkan blog saya seminggu ini tanpa sebarang hidangan untuk para tetamu yang berkunjung. Maaf ya semuanya. Ulangtahun kelahiran saya datang lagi. Terima kasih teman-teman di kamar facebook yang mengunjungi dan meninggalkan ingatan tulus kelahiran saya yang ke 22. Bila saya teringatkan akan usia saya yang semakin beransur bertambah angka, sedar saya bahawa semakin singkat perjalanan yang saya ada. Kadang saya teringat akan kisah-kisah lalu, membawa saya ke alam sedar yang saya pernah mencoret luka-luka pada kertas amalan saya. Mudahan saya diberi peluang oleh Pencipta yang berkuasa, menebus tiap-tiap dosa yang belum pernah saya fikirkan untuk habis saya tebuskan. Doakan saya untuk syurgaNya. Mudahan ada ruang untuk saya dan saudara bersama mereka yang mulia di sana kelak. Amin.

Saturday, May 7, 2011

Selamat Hari Ibu

Deritanya, siapa mendengar?

Ibuku satu, takkan pernah jadi beribu.
Mencurah kasih, tak pernah ada saat menyisih. 

Ibuku bersemangat, tak pernah ku lihat menghela nafas penat.
Menyusu anak-anak, tanpa ada rasa senak.

Ibuku perkasa, walaupun dirinya terseksa.
Membelai manja, membiarkan kita menjadi raja.

Ibuku pejuang, memberi kasih tanpa harap balasan wang.
Mengasuh mendidik, jarang sekali katanya mengherdik.

Ibuku perwira, meniup kehidupan walaupun lara.  
Mengajar kehidupan, memimpin kita menuju ke hadapan.   

Terima Kasih Ibu, Semoga dirimu mekar mewangi di taman-taman syurga.

Tuesday, May 3, 2011



Penyair, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah yang dikenali dengan nama penanya, Kemala, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-11, yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Monday, May 2, 2011

Tugasan bermula

Saya dan beberapa ahli jawatankuasa kerja untuk program Operasi Khidmat Masyarakat dan Kembara Anak Kenyalang akan memulakan langkah pertama dalam memperolehi bantuan dari segi kewangan, penginapan dan pengangkutan sepanjang program yang InsyaAllah akan berlangsung sepanjang 12-19 Julai 2011. Saya amat berharap, pada kali ini semua ahli jawatankerja yang terlibat akan mendapat semangat baru dalam menjalankan program yang akan mendapat liputan dan perhatian ramai terutama rakan-rakan dari Semenanjung tanah air. Apa yang saya harapkan, komitmen yang menyeluruh tanpa memikirkan tentang balasan amat penting dalam apa jua program yang melibatkan 'khidmat'. Semoga rakan-rakan semua mendoakan kejayaan kami untuk program yang akan kami jalankan.

dari masyarakat kita datang,
kepada masyarakat kita berbakti

Wednesday, April 27, 2011

Semua mereka Menginginkan

Balik Kampung insyaAllah 29hb April ini
Kata orang, hati terkenang mulut menyebut. Timbul kata-kata itu kerana budi yang dipersembahkan menjadi ingatan dan kenangan orang lain. Tapi kadang kala, dalam kehidupan hari ini, bukan hanya budi yang dikenang dan disebut, perbuatan yang tak mungkin ingin dikenang dan disebut pun akan membuatkan diri saya berkata, hati terkenang mulut menyebut. Bukan kerana apa pun, hanya kerana saya kesal melihatkan keadaan itu. Pernah saya menabur bakti dan budi di atas warna-warna daun yang disangka segar. Rupanya kepalsuan pada setiap helaian yang ada. Pernah saya menyiram kasih dan simpati pada batasan yang ada. Rupanya kerapuhan yang ada pada tiap pohon yang melambai. Saya bersyukur atas rahmat Ilahi, menunjukkan setiap jawapan yang saya cari sejak dulu lagi. Mungkin inilah hikmah di sebalik kejadian. Saya diperlihatkan akan intan dan permata. Mungkin juga pada kaca yang hanya berkilau pada luarannya, dan melukakan pada dalamnya. Terima kasih Allah.

Tuai padi Antara Masak

OPKIM & insyaAllah sekali lagi pada 2011

Bersama rakan Program Pameran

Rakan-rakan di Keris Mas

Makan Malam

Bahagian teknikal Kapal Kertas

03 dari 05 Panggilan over!

Pewaris Peradaban Bangsa Sarawak

3 in 1

Berat sama dipikul, ringan dijinjing sama

Thursday, April 21, 2011

Wednesday, April 20, 2011

Operasi Khidmat Masyarakat & Kembara Anak Kenyalang

Kepada rakan saya dari Semenanjung yang akan menyertai program ini, terima kasih dengan tangan yang terbuka. Bak kata pepatah Melayu lama, kecil tangan, nyiru kami tadahkan. Selamat datang semuanya. Dan kepada rakan-rakan Sarawak saya khususnya jawatankerja program ini di PEMASRA, selamat bekerja ya. Semoga program ini akan menjadi kenangan terindah rakan-rakan kita dari Semenanjung.

"iboh berolah gilak"

Mereka menyokong (kita) bila lagi?

Hapuskan yang Menentang Atau Biarkan

Hapuskan yang menentang

Ketulan ais yang tadinya beku itu cair hanya dalam sekelip mata. Pancaran matahari yang panas pagi itu membuatkan gelisah melanda tiap jiwa yang mahu ditiup lagu-lagu Tuhannya. Siapa sangka, sebatang pensil kampung, kami asah menjadi pena yang sungguh bermakna. Hingga hampir semua yang ada menunggu untuk menulis dengan pensil itu. Terus kami kehairanan melihat pen itu tidak lagi di tangan kami. Setelah kami asah, kami letakkan di pohon yang indah dan mekar. Lalu apa yang dimahukan? Tidak cukup rendangkah pohonan itu. Atau kau mahukan kami memanjat lebih tinggi untuk meletakkan dirimu. 

-Maaf, perlukan sambungan. Saya perlu muhasabahkan diri. Takut menjadi dosa.- 

Tuesday, April 19, 2011

Bangkit


Susah melihat orang lain susah
Senang melihat orang lain senang

Bangkit itu Takut!
Takut korupsi
Takut makan yang bukan haknya

Bangkit itu Mencuri!
Mencuri perhatian dunia dengan prestasi…

Bangkit itu MARAH!
MARAH!!! Bila martabat bangsa dilecehkan!

Bangkit itu malu!
Malu jadi benalu
Malu karena minta melulu

Bangkit itu… Tidak ada!
Tidak ada kata menyerah!
Tidak ada kata putus asa!

Bangkit itu… Aku!
Untuk tanah air ku..

Deddy Mizwar

Saturday, April 16, 2011

30 tahun dan seterusnya

Terima kasih & Tahniah kepada Pehin Sri Taib Mahmud kerana terus dan kekal memerintah kerajaan negeri Sarawak yang kini untuk penggal ke-7, semoga Pehin Sri diberi kesihatan, terus berbahagia bersama Puan Sri Ragad Kurdi Taib, dan 
sentiasa dalam lindungan kasih
Allah s.w.t

Pilihanraya Umum Sarawak Kali ke-10





klik gambar untuk jelas

Wednesday, April 13, 2011

minggu Exam

::13-27 April 2011::Selamat Maju Jaya::

dari Putrajaya ke Petrajaya

16 April 2011 ini akan menyaksikan satu peralihan kuasa sama ada mahu atau tidak. Pimpinan yang sedia ada perlu aku apabila kuasa rakyat dijadikan sandaran dalam pemilihan pimpinan kerajaan Sarawak yang baru. Masyarakat Sarawak yang semakin sedar akan keperluan dan kepentingan politik tidak ketinggalan dalam menyuarakan pendapat mereka untuk perhatian mereka yang berkuasa. Perkara yang paling penting sekali ialah semua pucuk pimpinan negara turun beramai-ramai ke Sarawak. Tugasan di Putrajaya ditinggalkan sebentar bagi memeriahkan suasana di Petrajaya. 


Friday, March 25, 2011

Ini amanah, Bukan Tujuan

Samad melihat ke arah keliling yang semuanya memerhatikan segala gerak-gerinya. Pasti semua memerhati dirinya. Kesalahannya itu, adakala dirinya sendiri menyalahkan khilaf yang dilakukannya. Aku tidak pasti. Mahu melihat dirinya seadanya, atau aku lepaskan pandanganku pada titik-titik lain pada ruang itu. Sesekali aku terdengar ketukan yang tadinya halus semakin memberanikan diri. Ada suara kurang enak dari luar pintu itu. Aku pasti, sesekali ejaan namaku dihitung satu persatu oleh mereka. Aku membiarkan diri di dalam ruang itu. Senyap dan kadangkala gelisah. Tapi aku perlu mendengar tiap kata itu dari awal sampai ke hujungnya. Ada suara kurang gemar. Salah aku atau mereka? Andai aku katakan salah mereka, pasti mereka mengatakan aku tidak mahu mengaku kesalahan. Tapi andai aku mengatakan salah diriku, pastinya mereka senyum kepuasan kerana kata-kata mereka itu disangka benar. Padahal mereka bukan siapa-siapa. Dulunya hanya anak-anak kecil di ruang lorong itu. Sekarang cantik besar berkembang. Sesekali pandai menyapu bau pada setiap yang lalu. Adakah dirimu sewangi kuntuman mawar di taman firdausi? Hebatkah dirimu umpama Yusuf melukakan tangan pemotong-pemotong buah hanya sekali lalu? Atau dirimu menyangka ada gambar pada ruang sangkutan itu akan terpampar wajahmu? Ini amanah sayang, bukan tujuan. Andai hari ini aku bangga kerana pangkat dan darjat, nescaya esok atau lusa celaka menimpaku. Aku bukan siapa-siapa, insan lemah di sebalik kata. Dan dirimu sayang, ingatlah tempat mu tidak seselesa mereka. Ada masa jika ku jatuhkan diriku di lembah gaung itu, nescaya dirimu sayang, ku tarik sekali ke gaung ini, agar ada yang lain terus di atas laluan itu. Kerana semuanya bukan milik diriku dan dirimu. Ada laluan untuk mereka semula. Maaf sayang.

Monday, March 21, 2011

Saturday, March 19, 2011

Melaka

2 hari 1 malam di Melaka, ada kenangan terindah. Bersama senior Pemasra, ada cerita di sebalik cerita. Yang mungkin belum pernah terungkai antara kami. Tapi baru ketika itu antara kami ada tika untuk bercerita. Terus kami hulurkan tangan antara kami. Mengikat kata. Menyulam rasa satu hati. Mengajar yang salah. Mengikut yang tepat. Terus saya ungkaikan kata selamat dan syukur.
Terus melangkah

Thursday, March 17, 2011

Down Town

Keluar makan seusai mesyuarat yang agak suram pada pertemuan kali pertama. Bukan kehadiran yang kurang. Cuma suasana tidak seindah dulunya. Ada cerita yang masih tersimpan. Belum semua dirungkai. Masih ada rahsia. Ada mereka. Dan mungkin saya.

Seusai makan atau sebelum

Kucing ini digelar pusak dalam bahasa
kampung saya

Down Town, perasan tak budak berbaju merah
jambu tu, jam dah lebih 12 tengah malam

Saya bersama model icecream 

Pesta Pantun

Baru-baru ini berlangsung pesta pantun. Minggu sebelumnya saya mewakili program Persuratan pada pertandingan pantun peringkat pusat. Untuk pesta pantun peringkat UKM, saya tak berkesempatan untuk sama berpantun. Ada ruang yang perlu diberi peluang. Tak apa, bukan rezeki memantun pada musim ini. Pantun hari-hari pun boleh. Tapi sesetengahnya, berpantun mengikut musim. Kerana mungkin Melayunya bermusim.
Saya dan bunting Pesta Pantun

Mungkin saudara tak kenal saya,
tapi mustahil tak kenal yang di sebelah
saya

Ambil kesempatan dalam kesempatan yang ada

Jeaniel, saya dan Nisah Haron. Penulis novel cinta, juga
bekas peguam