Thursday, December 30, 2010

2010= ?

 Semoga hadiah yang sama dan lebih baik untuk 2011
Di layar facebook semua sudah mula menitipkan ucapan selamat untuk teman-teman sempena tahun baru yang bakal menjelma kurang 12 jam dari sekarang. Semua kisah suka dan duka, dikenang kembali. Sama ada datang secara terus, mahupun ingin dilupakan tetapi datang dengan sendirinya. Semua teman-teman mula membina azam yang baru. Tetapi ada yang mengatakan "azam lama pun tak lepas, sibuk dengan azam baru." Tetapi bagi saya, setiap tahun semua kita perlu mempunyai azam yang baru. Tidak kira sama ada azam yang lepas tercapai mahupun tidak. Azam ini seolah-olah target untuk kita. Memperbetulkan dan meningkatkan segala kekurangan yang mungkin ada. Terus saya membina azam baru untuk tahun ini. Memikirkan tentang formula tajuk di atas, saya terasa janggal. Menyebutnya kadang-kadang terasa segan. Ada teman-teman yang tidak percaya status saya. Tetapi rasa sunyi memang ada. Yang pasti, rasa itu bukan keperluan yang memuncak untuk saya. Biarlah ia datang dengan relanya. Saya harapkan, 2010 merupakan tahun yang telah membuatkan saya menjadi insan. Dan saya harapkan 2011 menjadikan saya sebahagian daripada insan yang mendapat kasih dan sayang dari tuhan yang agung. Dan juga untuk dirimu.

Tuesday, December 28, 2010

Cinta kad Matrix

Dua kad, sama gambar, sama nama
Mungkin cinta. Atau lebih diertikan dengan kasih dan sayang. Siapa menyangka, kisah cinta duka lara penuh derita, suatu masa hilang dan kini datang semula. Seolah-olah ada kisah lama yang masih belum diungkap dengan kata-kata mahupun tingkah kerja. Aku sekali dua menggaru kepala kehairanan tentang kisah cinta itu. Beberapa ketika sehingga hampir gelap dan gugur rambutku barang sesisir memikirkan cinta ku hilang di kala aku enggan memerlukannya. Siapa menduga, ada insan lain menemukan kasihku di antara kain-kain suci lembut mengikut alur angin yang menyamankan. Segalanya bermula setahun setengah yang lalu. Antara sedar dan tidak, cinta itu membuatkan pergerakanku adakala terbatas sekali. Setiap langkahku mungkin dihenti, tanpa dirimu cinta. Seminit dua, aku berkesempatan kembali ke zaman dahulu kala. Kala anak-anak kampung belum mengenal shopping complex mahupun panggung wayang. Menyebut Kfc dan McDonald mungkin menyebabkan lidah mereka terseliuah antara suku kata yang ada. Terus aku ambil kesempatan itu, bertanya khabar dan berita. Bagaimana kisah cintaku boleh terdampar antara hembusan angin itu. Mengapa tidak di ruang khabar semalam. Puas aku mencari di situ. Apa alasan mu sayang. Bukankah kita telah berjanji untuk setia? Telah aku ukirkan tanda-tanda cinta kita atas namaku. Engkau mungkin lupa, tapi akulah makhluk yang enggan melupai selagi mampu mengingati kisah cinta itu. 

Monday, December 27, 2010

Patah jari Patah Tulang

Batu ini mungkin berat
Kata orang, "yang berat sama dipukul, yang ringan sama dijinjing". Dan pastinya kata-kata orang Melayu. Buat menjinjing benda yang ringan, sedangkan dapat dilakukan oleh seorang. Tapi bukan masalah benda yang ringan untuk dijinjing beramai-ramai, kadang-kadang benda yang terlalu ringan, langsung tiada siapa yang mahu membantu untuk menjinjingnya. Mungkin malu. Malu? Biasanya tiada langsung riak malu pada kayu itu. Mungkin malas. Malas? Kadang-kadang terlampau rajin. Mungkin sikap. Sikap? Ya, sikap yang tidak peduli. Mungkin menunjukkan dirinya seperti kata-kata Melayu lama tidak menjaga tepi kain orang. Alahai, kain orang habis koyak dipegangnya. Tidak mengapa, patah jarinya atau tulangnya nanti masakan saya akan membiayai perbelanjaan di hospital nanti. Terus saya biarkan dan biasakan perkara itu. Menjadi pengalaman dan pengajaran paling berguna dalam kehidupan. Jadi, andai ada yang mengata kekurangan, jangan dipersalahkan mereka. Bukankah kita telah cerminkan dan lakonkan setiap perlakuan itu tadi?

Friday, December 24, 2010

2010 sepanjang Jalan Kenangan

Promosi Kursus Gendang Silat


UKM & Sambutan 40 tahun
Saya dan Khatty bersantai di panggung wayang Parkson

Menghadiri Festival Gamelan, UKM
Bersama rakan Jabatan Persuratan bergerak pulang ke kolej kediaman
di Keris Mas

Majlis Buka Puasa anjuran Pemasra
Bersama pelajar junior Jabatan Persuratan Melayu sempena
Aidilfitri anjuran jabatan
Reunion bersama rakan 6 Atas Cemerlang di Hartz Chicken
Bersama sidang Redaksi, Warkah Pengajian Melayu

Majlis Berbuka Puasa bersama YB Datuk Fadilah Yusof
Kesempatan bergambar di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
Majlis Anugerah Dekan

Program Pemasra (INTUB)
Saya dan barisan exco dalam Program Interaksi Pelajar Tahun 1
Majlis Diskusi Novel minggu terakhir dan merupakan
anjuran kumpulan saya
Saya dan rakan Kursus Gendang Silat pada Malam Festival Seni

Kenangan saya bersama teman-teman di Jabatan Persuratan Melayu,
Makan Malam Akhir Semester
Kenangan paling indah bersama adik-adik saya di Kem Pembangunan
Bakat 2010
Semasa Kursus Pengurusan Organisasi PEMASRA

Logo Kelab Pengajian Melayu

Logo Kelab Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia

Thursday, December 23, 2010

Janji dah Sampai

Hanya nisan sebagai ganti
Tiada siapa dapat menyangka, apakah esok dirinya bernafas lagi. Menyedut udara yang dicurahkan Pencipta kepada hambanya yang ingkar. Kesibukkan mencari kad matrix yang hilang tiba-tiba terhenti seketika. Satu penguguman tentang kematian seorang pelajar yang tinggal di kolej ku membuatkan diriku memikirkan tentang kecepatan dan ketepatan saat kematian. Mana mungkin si mati menyangka namanya diumumkan sebagai seorang yang sudah tidak bernyawa pada pagi itu. Aku sempat berbicara sebentar bersama rakan rapatku. Ya, tentang kematian. Ketakutan aku menghadapi saat itu. Adakah keampunan untuk diriku. Mungkin aku terlalu jauh memikirkan tentang perkara itu. Tapi saat yang mungkin indah atau derita itu, pasti datang satu hari nanti. Dan tiada siapa yang dapat memberitahu diriku tentang saat itu. Malam ini, sayup-sayup kedengaran Imam dan Makmum di surau kolejku membacakan Yasin tanda sedekah kepada si mati. Aku tidak berkesempatan kerana mesyuarat yang perlu dihadiri. Takziah buat dirimu si mati, terima kasih kerana memperingati diriku, bahawa kematian juga akan berlaku pada diriku.

Thursday, December 16, 2010

mencari Puteri

Saya enggan mahukan warna cerah seperti merah jambu ini,
tetapi biasanya warna inilah yang melambangkan tetang CINTA
(foto ini saya perolehi daripada blog ini)
Kadang-kadang, saya malas berbicara tentang cinta. Bersama rakan-rakan, rapat ataupun biasa. Mahu saja saya serahkan segalanya kepada Pencipta yang Agung. Tapi, takkan yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek. Entah mengapa malam ini saya memanjakan jari-jemari saya menekan butang-butang petak ini tentang cinta. Baru-baru ini ketika berada dalam suasana kesibukan, saya rasakan perjalanan menghampiri cinta saya semakin dekat. Lirik matanya. Senyumnya. Kata-katanya tersusun. Sesekali menanyakan tentang peribadi saya yang tiada apa-apa ini. Hampir saya melafazkan kata-kata cinta padanya. Tapi saya tidak seberani Hang Tuah melafaz cinta pada Gunung Ledang. Teringat saya akan nombor telefonnya yang saya rayu darinya. Satu-satu nombor saya tekan perlahan memastikan butang yang ada pada telefon saya tepat. Pesanan yang sekali saya hantar berbalas. Rasa berputik cinta sesegar mawar mekar di taman. Terus kami berhubung malam itu. Setiap pesanan ada saja soalan dan jawapan. Yang pasti, malam itu saya cukup segar. Mengantuk? Hilang. Mungkin itulah penawar untuk mereka yang mencintai buaian tidur. Terus beberapa hari saya teruskan dengan kata-kata manis bermadah untuk si Puteri. Tapi semakin hari, katanya tidak lagi tersusun indah. Sesekali terasa di hati dengan katanya yang kurang menyedapkan. Mungkin aku tidak setampan pemuda yang baru sahaja lalu di hadapan kami. Aku seperti melayang di angkasa lepas. Sesekali singgah di Marikh dan sempat menyentuh Bulan. Aku dapat rasakan tentang kisah cintaku bukan untuk dibaca oleh si Puteri. Teruskan pujuk jiwa dan ragaku. Berundur terus daripada ruang pentas cinta itu. Mungkin bukan diriku Tuah yang dicari Ledang. Mungkin aku Jebat yang hanya menanti pancungan Tuah. Soal cinta, siapa saja boleh mempersoalkannya. Tapi aku, masih belum menemui soalan cinta, apatah jawapan untuk cinta. Mungkin esok cinta datang lagi?

Monday, December 13, 2010

Hari Lahir

Saya ditag rakan di FB. Mengingatkan saya tentang usia yang semakin menerjah dewasa. Kesediaan dalam menghadapi dunia dewasa yang mencabar, sesekali menggerunkan jiwa saya. Mudahan saya mampu menghadapi hari-hari yang penuh dengan cabaran.
Saya ditag pada tarikh 16. Terima kasih kepada yang menge'tag'

Ini juga Kenangan

Saya dan rakan teruja dapat merakam gambar bersama
senior di Biro Perkhidmatan Pendidikan-MIS

Semua gadis di tepi saya model-model belaka
Saya dan rakan-rakan Pembantu Fasilitator
Program Kem Pembangunan Bakat 2010

Sebelum pulang, kami rakamkan gambar kenangan ini

Saya di hujung sekali

Di "Top Spot" Permata Park, Kuching

Kesibukan dalam Kenangan

Mudahan kami dapat bertemu lagi

Tempat yang menemukan saya dengan pelbagai kenangan

Persediaan sebelum persembahan menjelang
Sabtu (4 Disember 2010)

Saya terasa kanak-kanak kembali

Saya rakamkan kenangan pada hari terakhir program ini

Ini keluarga jagaan saya, Keluarga Bidang al-Quran







Saya kadang-kadang tertanya pada diri, masa sangat pantas berlalu. Tapi saya tidak menghargai masa-masa yang berlalu pergi. Bermula cuti semester sehingga pada hari ini, tidak sempat saya 'post'kan apa-apa di ruang blog saya ini. Menerima panggilan daripada ayahanda saudara di Biro Perkhidmatan Pendidikan- Majlis Islam Sarawak, terus saya sibukkan diri bersama kanak-kanak seusia 11 dan 12 tahun. Ada yang belajar taranum, melukis, menari, menyanyi, berlakon dan menulis. Semua mereka diletakkan di bawah satu bumbung iaitu di SK(A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan. Dua minggu masa cuti saya, saya kongsikan bersama kanak-kanak ini. Pengalaman yang sangat memberikan saya inspirasi. Bersama ratusan anak-anak yang genius, siapa tidak teruja. Terus masa cuti saya, saya bahagikan bersama rakan-rakan staff di pejabat Biro Perkhidmatan Pendidikan. Seminggu di situ. Saya didedahkan dengan cara kerja di dalam pejabat kerajaan. Sungguh mengujakan. Ada semangat saya pahatkan di dinding pejabat itu. Mungkin ingin kembali berkhidmat jika diberi peluang. Terus hujung minggu saya berbaki dua hari, saya serahkan di Maktab Perguruan Batu Lintang. Menyediakan persiapan untuk Bengkel Bicara Upaya Ummah II yang dihadiri oleh ratusan golongan berpendidikan dan profesional dalam pelbagai bidang. Petang Ahad, (12 Disember 2010) saya berpeluang bersama YAB Pehin Sri Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak. Berdialog dan sesekali terusik dengan cerita-cerita lalu. Malasnya saya apabila kembali ke rumah. Kepenatan daripada kesibukan itu. Ya, banyak gambar yang saya ambil untuk simpanan saya. Satu dua gambar itu, saya kongsikan di sini.