Monday, December 31, 2012

Selamat 2013

Dan semalam kita menghitung, apakah esok mula mengasah bibit-bibit azam, yang entah berapa lama kita simpan, tak siapa tahu, mengira apakah esok akan ada mentari di balik tabir itu, bukankah Tuhanmu berpesan dengan kitab yang Mulia, bahawa esok belum pasti milikmu? Terus aku tarikan jari-jari tanpa henti, mencari khilaf, menerus dosa silam, apakah tiada hujung? Jangan dibiar semalam menghantui esokmu, dan jangan biarkan esok menhantui malammu, biarkan kami berselimut biru itu, kerana belum ada taman indah di situ, biar kami menunggu di sini, mencari kanan atau kiri yang lebih pantas ke situ, kerana tiap bukit ada curamnya, tiap sungai ada lekoknya, tiap pohon ada rantingnya, dan saya mulakan tahun ini benar-benar tanpa noktah, kerana saya bimbang, bila saya noktahkan malam ini, esok pasti bukan milik saya lagi

Mudahan impian tercapai

2012 Dalam Kenangan

Persidangan Mahasiswa Islam Sarawak
HIKMAH
Kuliah akhir bersama Dr. Zubir
Bicara Ummah HIKMAH & UKM

Alhamdulilah, Tamat Dengan Bergaya

Bersama Guru dan rakan di
Biro Perkhidmatan Pendidikan MIS

Rakan Projek Ilmiah saya

Makan Malam Bersama Pemimpin Sarawak

Rakan Kuliah
Saya, Hazman Brunei, Din Kelantan,
Kak Eqin, Kak Sal, Dr. Zubir & Haizal Sabah

Akhirnya! Latihan Ilmiah aka Mini Thesis berjaya
disempurnakan

Hari terakhir saya di PEMASRA


Bersama rakan-rakan USM

Makan Malam Mahasiswa Tahun Akhir 2012

Persidangan Meja Bulat PTPTN anjuran
Pemuda UMNO

Hadir Program HIKMAH di Univ. Malaya

Bersama anak Sarawak di FSSK, Tahniah!

Sebelum hari konvo

Juara TenPin Bowling 2012 PPBKKM

Keluarga PEMASRA

Hari Belia 2012, dari kiri:
Tun Teja, Hang Kasturi, Tun Fatimah dan Saya

Santap kali terakhir bersama-sama
Hang-Hang sekuliah

Anugerah Dekan

Makan Malam Kolej Keris Mas

Bersama rakan menunggu masuk ke
DECTAR pada hari yang sangat bermakna


Keluarga besar saya di UKM

Bersama rakan seperjuangan di Port Dickson

Dari Kiri:
Hang Cangkul, Saya, Hang Parang, Hang Tukul
dan Hang Paku

Bersama rakan siswazah pada Hari Sastera Melayu 2012

Friday, December 28, 2012

Kisah Lama

Awalnya saya pilih ini, tapi saya
lebih suka akan tampung seribu itu
Hari ini saya menyusun semula gambar dan bentuk huruf rumah saya ini. Saya rasa kali ini nampak lebih kemas dan sedikit ceria. Latar kain tampung seribu mengingatkan saya akan selimut di rumah. Beberapa minggu lagi saya akan kembali ke kampung halaman dengan azam dan cerita yang baru. Dan beberapa jam yang lepas sebelum saya menulis dan menghias rumah saya ini, saya dan rakan menerima kunjungan rakan lama. Kami bongkar semua kisah lama, seperti baru semalam saya mendaftar di kediaman ini. Melihat perubahan hampir empat tahun perkenalan, kami bicara sehingga menjumpai kami mempunyai satu cerita lama. Mengenang cerita lama, pastinya tinggal saja dalam kenangan. Yang pasti, sama ada kita mahu membuka semula lipatan dalam kenangan yang ada, atau terus membiarkan segala yang ada dalam lipatan dibiarkan rapi dan terus disimpan menjadi kenangan di satu saat, hanya hati kita yang mampu berbicara. Semoga malam yang bahagia ini doa-doa para peminta dimakbulkan Allah yang esa, dan kami bersahabat diampunkan dan dirahmati olehNya. 

Tuesday, December 25, 2012

Hati & Budi

Saya jarang meninggalkan catatan saya di ruang ini untuk meluahkan perasaan. Kerana bagi saya, ruangan ini untuk saya ingatkan kisah-kisah yang mungkin menggembirakan dan menyedihkan. Tapi hari ini, saya nukilkan ruangan ini untuk seorang insan yang baru saya kenali beberapa bulan ini. Keramahan dirinya membuatkan sesiapa sahaja di sekelilingnya akan merasa bahagia dan tenang. Saya memikirkan tentang hati dan budi. Hati yang bersih diibaratkan seperti kanak-kanak yang belum mengerti akan kotor. Dan budi melambangkan keutuhan seseorang dalam nilai dirinya. Semoga insan ini terus bahagia bersama jiwa-jiwa yang memberikan ketenangan untuk dirinya dan mereka yang disayangi. 

Saya dan rakan-rakan di Parkson

Sunday, November 25, 2012

Usrah dan ukhwah

Salam Usrah
Saya ingin menjadi mereka. Setiap percakapan, bukan yang lagha. Semua ditafsirkan dalam erti kehidupan sebenar. Menjadi insan untuk terus mencapai kehidupan yang sempurna bukan hanya di dunia, tetapi di alam kekal akhirat kelak. Petang tadi, sempat berjumpa bakal naqib usrah saya berjumpa rakan ziarah dari Sarawak. Perbualan tentang Hijrah yang baru sahaja berlalu 10 hari yang lepas memberikan saya satu ilmu yang baru. Bahawa Hijrah itu menurut rakan ziarah saya, bukan satu pelarian Nabi Muhammad s.a.w daripada kaum Baginda di Mekah, tetapi Baginda kembali kepada kaumnya yang berada di Madinah. Kerana menurut teman ziarah saya juga, Nabi Muhammad s.a.w mewarisi keturunan Bani yang berada di Madinah (saya lupa akan nama Bani itu). Dan antara yang saya fahami, tentang Assabiyah (berpuak) yang hasanah (membawa kebaikan). Dalam pertemuan dan perkongsian yang sangat singkat itu, saya dipertemukan dengan beberapa teman baru dan kami kukuhkan ukhwah dalam tautan usrah tadi. Semoga kami di dalam rahmat dan redha Mu.

Saturday, November 24, 2012

Bertemu semula

Kuala Terengganu

Antara impian dan harapan, saya pernah berkata di dalam hati ingin kembali menjejak kaki semula di sini. Ketika kapal terbang yang saya naiki mula mendarat, hati saya seakan terpanggil dan mula memainkan semula kenangan. Terengganu sesekali menggamit semula memori saya bersama teman-teman semasa konvensyen Usahawan Muda peringkat kebangsaan 2006. Tetapi kali ini, berbeza sekali. Saya datang antara ziarah dan jemputan rakan yang saya kenal sebagai seorang yang begitu banyak membantu saya. Terus saya lalui jalan-jalan yang pernah saya singgah dahulu. Cepat perubahan dan pembangunan. Saya mohon bicara singkat ini. Saya sambung Inshaa Allah di pertemuan lain. Oh ya, gambar-gambar konvokesyen Ijazah Pertama saya mungkin di ruang dan senggang yang lain.

Tuesday, September 18, 2012

Jiwa yang lalai

Saya menghitung antara tiap bulan yang menukar waktunya, saya menjadi bingung. Apakah kelanjutan usia ini untuk terus mencari kemegahan dunia sedangkan lanjutan itu menghampiri detik waktu kita berjumpa Allah yang telah menciptakan tanpa pernah mengungkit pemberianNya. Sesekali saya memikirkan, betapa singkatnya usia yang diberikan kerana keistimewaan Lailatul Qadar untuk umat akhir zaman mencari gandaan pahala seribu bulan hanya dengan amalan satu malam di penghujung Ramadhan lalu. Bayangkan, di usia ini saya masih mencari-cari kesenangan dunia. Sesekali saya mengucap syukur buat rakan-rakan di sekolah-sekolah tahfiz, menghitung tasbih bersama zikir, pagi disingkapkan dengan alunan Quran yang mengingatkan suruhan dan tegahan, serta tazkirah guru yang menyedarkan. Sesungguhnya hambaMu ini ya Allah dalam kerugian. Ampunkanlah Dosa dan Kelalaian kami ya Allah.

Lanjutkan usia kami dalam redhaMu, ya Allah

Tuesday, August 14, 2012

Ramadhan

Salam Ramadhan yang semakin berbaki. Bagai baru semalam menyambut kedatangan Ramadhan, tapi hakikatnya beberapa hari lagi Ramadhan bakal meninggalkan kita. Bulan yang penuh keberkatan belum pasti  ditemui semula pada tahun akan datang. Saya menghitung-hitung cukupkah amalan untuk mendapat rahmat, pengampunan dan pelepasan daripada seksa neraka. Saya memohon kepada Allah yang telah mencipta, semoga Ramadhan yang bakal pergi pada tahun ini merupakan Ramadhan terbaik buat saya dan kita semua.

Monday, July 23, 2012

Ahlan wasahlan ya Ramadhan

Teman-teman saya semuanya, semoga kedatangan Ramadhan kali ini benar-benar membawa rahmat dan barakah kepada kita semua. Saya dari subuh hingga ke maghirb menghitung berapa dosa yang telah saya lakukan. Sesekali beristifar memohon ampun Allah yang Esa. Masihkah ada lagi ruang pengampunan untuk hambanya yang sering melakukan kekhilafan. "Ya Allah, ku pohon redha dan ampunanmu. Terimalah doa dan taubat kami."

Sunday, June 3, 2012

Benar

Saya bukanlah sesibuk seorang presiden yang tiap masanya dipenuhi jadual-jadual yang penuh pengisian. Juga bukan ahli perniagaan yang telefon tangannya sentiasa berbunyi menanda masuk pesanan-pesanan teman niaga yang mengharapkan untung daripada kerugian. Baru malam yang muda saya berbual bersama ibunda tercinta. Bertanya khabar kampung yang lama ditinggalkan. Benar, suara ibu mengubat duka dan menambah kerinduan saya untuk pulang ke halaman. Mungkin seminggu dua lagi, saya akan pulang ke kampung. Bagai baru semalam saya membungkus baju-baju untuk dibawa ke sini. Realitinya, 3 tahun sudah saya mencari ilmu di sini. Dan bagai tidak percaya, gagang telefon yang letakkan kembali di sisi kanan meja berbunyi kala malam mendekatkan dirinya kepada siang. Namun embun belum berdetik lagi. Ayahanda saudara saya tercinta pergi buat selamanya. Benar, bagai baru semalam saya duduk semeja menjamah cucur buatan nenda yang juga telah lama pergi. "Oh Tuhan yang menciptakan, Benarlah janji-Mu tidak pernah menunggu saat semua bertemu. Kerana semuanya atas rahmat dan redha-Mu." Semalaman saya tidak tidur. Banyak kisah-kisah kembali bermain di fikiran saya. Kerja mengedit saya hentikan dan saya gantikan dengan bacaan ayat-ayat Quran yang menenangkan. Sekali dua alunan ayat suci berhenti, saya wudhukkan diri penuh tawaduk. Membaca Yassin dan tahlil tanda sedekah saya dari jauh. Rasa mahu saja saya terbangkan diri ke kampung. Tapi sesungguhnya semuanya telah tertulis. Dan ianya Benar. Tiada yang dapat mempercepatkan barang sesaat, mahupun melambatkannya. Saya mohon pada Allah yang Maha Pengasih dan Pengampun, amankanlah dia di sana bersama para solehin. 

Thursday, May 24, 2012

yang ke-23

16 Mei lalu, saya menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-23. Ramai yang kata umur itu hanya angka. Tapi bagi saya, angkalah yang menentukan segalanya. Berapa banyak amalan dan kesalahan yang saya lakukan sepanjang saya diberikan kesempatan. Berapa kali saya mengucap syukur pada Tuhan yang meminjamkan saya setiap nikmat dan tidak pernah meminta kembali. Berapa kali saya sujud dengan air mata kasih pada Tuhan yang memberikan kesenangan dan tidak pernah mengungkit pemberiannya. Dan berapa kali saya bertasbih memujiNya sedangkan kasih Rahman dan RahimNya tidak pernah putus untuk hambaNya ini. Saya bersyukur atas nikmat Mu Ya Allah. Seperti mesej pensyarah saya Tiada kesyukuran yang lebih besar selain dilahirkan sebagai Muslim, apalagi muslim yang membuat kebajikan pada yang lain. 
Terima Kasih sahabat-sahabat yang mengucapkan
Selamat

Sunday, April 15, 2012

Masa Berlalu Laju

Post terakhir saya di rumah blog saya ini akhir disember tahun lepas. 4 bulan saya tinggalkan rumah saya ini tanpa berita. Siapa saja yang nak menjenguk rumah saya ini. Mungkin mereka yang menari dan menyanyi lagu yang rentaknya semakin canggung. Mungkin banyak yang saya akan muatkan di rumah ini. 4 bulan berlalu, banyak perabot saya belikan. Saya sedang memikirkan, di ruang mana saya akan letakkan. Insyaallah, ada masa saya kongsikan perabot-perabot itu. 

Saya terjumpa resipi ini semasa berziarah di blog
Pn. Salina Ibrahim. Menarik juga resipinya.