Thursday, February 28, 2013

Gagasan Baru

Kenangan yang mungkin mustahil
untuk kami potretkan kembali
Tugasan kuliah untuk kursus sarjana saya di semester dua ini terus bermula. Dengan memilih pengkaedahan atau teori tempatan/Melayu, saya memulakan dengan Gagasan Persuratan Baru yang diperkenalkan oleh Dr. Mohd. Affandi Hassan. Isi dan maklumat yang padat perlu dihadam dengan rasa rendah diri untuk memastikan saya benar-benar faham akan teori yang sangat menekankan konsep ilmu sastera yang seharusnya memanfaatkan. Terus saya ke perpustakaan siang tadi (suasana lengang tidak seperti di hujung semester) benar-benar merasakan perubahan pada diri saya. Kali ini tanpa rakan-rakan kuliah seperti di peringkat ijazah pertama, saya meneruskan langkah menuju gudang buku. Benar. Saya tidak pernah ke perpustakaan pada awal semester (mungkin hanya pada semester pertama di tahun pertama). Matlamat sebagai mahasiswa seharusnya dihabiskan di tempat sebegini. Tetapi kepelbagaian hiburan yang memerlukan kepantasan teknologi menyebabkan mahasiswa termasuk saya memilih untuk tidak ke sini. Perkenalan saya dan Gagasan Persuratan Baru ini akan lebih mesra lagi nanti tetapi saya mulakan untuk bersama Aligupit. Kisah pemimpin politik yang mementingkan kejayaan dirinya secara mutlak tanpa memikirkan nasib masyarakat sekeliling. Sesuai dengan suasana politik sekarang. Pilihanraya yang akan datang menjadikan keghairahan media massa mengeluarkan pelbagai berita sensasi. Kisah perkenalan saya bersama Aligupit akan saya kembangkan lagi dipertemuan akan datang ya. Salam pencarian, dan selamat sampai ke destinasi yang semuanya. 

Monday, February 11, 2013

Cerita Ini

Selamat Hari Lahir
Minggu lepas saya bersama rakan menyambut hari lahir seorang teman. Di tempat yang sama, minggu sebelumnya saya datang dan berjumpa dengan ramai rakan-rakan lama yang kebetulan makan di situ. Saya menjadi hairan, memori saya tentang rakan-rakan hampir pudar. Ada yang saya jumpa jarang saya jadikan teman bicara semasa di sekolah. Kami mula mengukir semula kenangan semasa berada di sekolah dan bercerita tentang kenangan yang telah berjaya dicipta. Saya doakan semoga persahabatan yang ada akan dapat kami teruskan. Dan kepada saudara saya yang menyambut hari lahir bersama teman istimewanya, saya doakan semoga tercapai segala impian. 

Sunday, February 3, 2013

Pengalaman

Terbang lagi?
Saya masih menghitung-hitung, sama ada kembali ke pembukitan ilmu atau terus berada di samping keluarga tercinta. Juga tentang cita-cita dan harapan yang seringkali saya fikirkan, habiskan atau tinggalkan? Membiarkan hari-hari berlalu tanpa sebarang kisah yang membawa kepada satu pengalaman baru, saya kembali ke tempat lama mencuba sesuatu yang mungkin masih lama tapi dalam suasana yang sedikit berbeza. Mungkin akan bertemu rakan yang menyenangkan, atau mungkin teman yang menggusarkan. Saya menanam hasrat membiarkan sekeliling saya menjadi kosong apabila saya berdiri di sana. Memberikan fokus kepada tetamu-tetamu yang hadir, dan sesekali menjenguk jiran andai saya rasa diperlukan atau perlu. Hati saya berdebar-debar, tapi saya sudah fikirkan helah untuk keluar dari situ dalam seminggu dua ini andai kehadiran saya tidak menyelesakan orang lain, atau mungkin saya sendiri yang tidak selesa. Malam-malam yang meninggalkan luka-luka buat insan yang mencari, tapi percaya akan Tuhan yang tidak pernah melupakan hambaNya yang sering lupa akan kebesaran Tuhan yang Maha Esa. Titipkan doa buat saya dan semua, sentiasa dalam landasan umat yang diredhai dan dikasihi.