Thursday, June 20, 2013

Ruang dan Waktu

Doakan rahmat untuk sekalian alam

Antara kurniaan Allah SWT yang tidak akan dapat kita kembalikan dengan apapun kudrat antaranya ruang dan waktu. Ruang yang saya maksudkan kesempatan seperti usia, pertemuan, kenangan. Dan waktu pasti sekali saat-saat yang berlalu, tak pernah ada yang akan memutar jarum jamnya walaupun berusaha menipu diri sendiri. Ramai yang menyesali ruang dan waktu yang berlalu, tapi ramaikah yang menyedari perjalanan yang semakin hampir kepada Pencipta Yang Maha Agung? Dan beberapa hari lagi Ramadhan al-Mubarak yang dijanjikan dengan pelbagai ganjaran dan pahala datang kembali menemui hamba-hamba Allah yang hauskan nikmat Tuhannya. Saya menghitung perjalanan Ramadhan nanti dengan pelbagai pengisian siang dan malamnya supaya sangat bermanfaat. Semoga kita diberi kesempatan dan peluang untuk merebut bonus-bonus yang akan ditebus di negara kekal kelak. InshaAllah, Salam Ramadhan al-Mubarak!

Saturday, June 1, 2013

Pencarian HIKMAH

1 & 2 Jun hari besar untuk masyarakat
Dayak di Sarawak
Minggu lepas saya menghadiri bengkel penyelidikan untuk sastera kanak-kanak, dan saya diberikan kesempatan membentangkan kertas kerja tentang peranan Perbadanan Kota Buku dalam penerbitan sastera kanak-kanak. Antara yang hadir ialah pensyarah kursus saya, rakan kuliah dan tetamu istimewa Puan Ummu Hani yang merupakan seorang penulis dan juga pendakwah melalui penghasilan karya beliau. Antara perbincangan yang sehingga kini masih terngiang di telinga dan minda saya ialah "pencarian Hikmah" yang sebenarnya sentiasa bersama kita dalam setiap tingkah laku termasuk dalam bidang penulisan. Menghasilkan sesuatu yang akan mendatangkan manfaat kepada orang lain. Mungkin dalam tutur kata misalnya, terlalu dekat dan kerap kita gunakan. Adakah kita benar-benar berhikmah semasa berbicara atau sekadar perbualan kosong yang akan disudahi dengan penyesalan di hari kemudian. Saya teringatkan sedikit kupasan rakan baru saya dari Kepulauan Riau, antaranya menyebut tetang kehidupan dunia yang penuh dengan mimpi dan impian yang tiada kesudahan. Dan kita akan tersedar dari mimpi tersebut apabila dipanggil semula Allah yang mencipta dan menjadikan kembali ke tempat asal iaitu tanah. Terus timbul persoalan, apakah amalan kita seharian sudah mencukupi untuk tinggal di negara kekal, dan ketika kita dipersoalkan di Padang Mashyar yang besar dan luas dengan pertunjukkan amalan-amalan lalu kita yang memalukan, kita akan mampu berdebat ketika anggota badan menjadi saksi? Berebutlah memenuhkan tabung amalan kita untuk persediaan jual beli di hari Akhirat yang penuh dengan penyesalan. Ya Allah, tetapkanlah iman kami!