Sunday, June 3, 2012

Benar

Saya bukanlah sesibuk seorang presiden yang tiap masanya dipenuhi jadual-jadual yang penuh pengisian. Juga bukan ahli perniagaan yang telefon tangannya sentiasa berbunyi menanda masuk pesanan-pesanan teman niaga yang mengharapkan untung daripada kerugian. Baru malam yang muda saya berbual bersama ibunda tercinta. Bertanya khabar kampung yang lama ditinggalkan. Benar, suara ibu mengubat duka dan menambah kerinduan saya untuk pulang ke halaman. Mungkin seminggu dua lagi, saya akan pulang ke kampung. Bagai baru semalam saya membungkus baju-baju untuk dibawa ke sini. Realitinya, 3 tahun sudah saya mencari ilmu di sini. Dan bagai tidak percaya, gagang telefon yang letakkan kembali di sisi kanan meja berbunyi kala malam mendekatkan dirinya kepada siang. Namun embun belum berdetik lagi. Ayahanda saudara saya tercinta pergi buat selamanya. Benar, bagai baru semalam saya duduk semeja menjamah cucur buatan nenda yang juga telah lama pergi. "Oh Tuhan yang menciptakan, Benarlah janji-Mu tidak pernah menunggu saat semua bertemu. Kerana semuanya atas rahmat dan redha-Mu." Semalaman saya tidak tidur. Banyak kisah-kisah kembali bermain di fikiran saya. Kerja mengedit saya hentikan dan saya gantikan dengan bacaan ayat-ayat Quran yang menenangkan. Sekali dua alunan ayat suci berhenti, saya wudhukkan diri penuh tawaduk. Membaca Yassin dan tahlil tanda sedekah saya dari jauh. Rasa mahu saja saya terbangkan diri ke kampung. Tapi sesungguhnya semuanya telah tertulis. Dan ianya Benar. Tiada yang dapat mempercepatkan barang sesaat, mahupun melambatkannya. Saya mohon pada Allah yang Maha Pengasih dan Pengampun, amankanlah dia di sana bersama para solehin.