Wednesday, January 30, 2013

Kesabaran

Anak comel ini  benar-benar
pandai menggayakan dirinya.
Demi Allah yang menciptakan makhluk seluruh alam. Yang tidak pernah sesekali meminta untuk hambaNya membalas rahmat dan nikmat yang ada dengan kebendaan dunia yang melekakan, melainkan menyeru hambaNya terus melakukan perkara makruf dan meninggalkan yang mungkar. Beberapa minggu cuti semester ini saya luangkan mengisi berpuluh-puluh kekosongan jawatan yang disiarkan di laman web dan surat khabar. Jelas memang sukar sekali untuk seorang yang berkelulusan dalam bidang sastera untuk memenuhi kekosongan walaupun sekadar seorang promoter. Beberapa kali dipanggil untuk temuduga, sekali bersama bakal rakan sekerja, temuduga bersama pihak pengurusan, temuduga bersama pengurus, memang mencabar kesabaran. Saya berulang-alik adakalanya untuk menghantar secebis potret wajah, dan saya tertanya-tanya, adakah ini satu cara untuk mereka menguji saya sebelum memasukkan saya sebagai sebahagian daripada mereka. Tapi bukankah rezeki Allah itu luas. Saya membaca selawat dan memperbanyakkan istifar. Menyedari akan kebesaran Allah yang Maha Adil dan Maha Bijaksana. Allah ingin meletakkan saya benar-benar pada tempatnya. Semoga kesabaran membawa kita kepada jalan yang benar dan diredhai olehNya. Hujan di Kuching lewat malam ini benar menginsafkan. Saya membaca catatan hadis pada kalendar Hijrah, antaranya ialah Nabi Muhammad saw telah bersabda yang bermaksud, "Siapa yang menghulurkan kepadamu suatu kebaktian, maka balasilah dia, dan jika kamu tiada apa-apa balasan, maka hendaklah engkau doakan kepadanya." Riwayat Muslim. 

Friday, January 11, 2013

Hujan & Hebat

Biar Hujan Mencurah Lagi
Hujan yang tak berhenti ini antaranya rahmat untuk semua. Bagi saya hujan ini menenangkan hati yang tiba-tiba penuh dengan rasa sakit. Tapi mungkin rahmat ini berbeza buat rakan-rakan lain. Ada yang sejuk dari kepanasan siangnya, dan mungkin ada sedap diulit tidur. Mungkin untuk makhluk lain, seperti tumbuhan segar disiram air dari langit yang suci. Antara nikmat yang diberikan Tuhan, jarang kita menghitung nikmat-nikmat yang telah diperoleh dahulu. Saya sendiri, ya. Jarang sekali. Melihat kejayaan orang lain, terdetik rasa keinginan. Dan sungguh saya tidak pernah merasa dengki. Tapi kadang-kadang, seolah-olah orang itu cuba menunjukkan kelebihan dirinya tanpa kita perlukan. Saya memikirkan tentang perubahan dalam diri seseorang. Mungkin, kerana dirinya sudah merasakan hebat. Duduk dan berdirinya hanya dengan orang tertentu. Saya pun pada aras yang sama. Tetapi perlukah kita menunjukkan kehebatan diri kita? Semua perjalanan diri dipaparkan seolah-olah matlamatnya untuk menyatakan dirinya hebat. Saya hairan sehari-hari ini. Mengapa perlu sikap yang demikian. Bukankah Allah telah menciptakan diri kita yang hina? Dan mengapa kita menyombongkan diri hanya untuk dipandang hebat. Oh hujan yang mencurah, segar dan sucikan hati kami yang kotor.

Wednesday, January 2, 2013

Sekolah

Jom ke sekolah!
Hari ini semua bicara tentang sekolah, baik yang masuk tadika, darjah atau tingkatan, tak kurang di kampus UKM sibuk dengan minggu peperiksaan, Tak semua berpeluang merasa nikmat kesekolah, ada yang mungkin hanya sempat belajar mengira dan mengenal abjad, dan tak kurang yang langsung tidak pernah melihat kapur, semuanya kemungkinan bukan? Tapi kita hari ini terlalu selesa dengan kesenangan dan kemudahan yang diberikan, tanpa kita memikir akan simpati teman-teman yang tiada, Saya mengira akan nikmat-nikmat yang ada, tapi tidak pernah terhitung dengan akal dan minda, kerana semua yang ada adalah nikmat kurnia yang pasti tidak mampu dibayar pada Tuhan yang Mencipta segala-galanya, mohon maaf khilaf-khilaf yang ada

Tuesday, January 1, 2013

Hari Baru

Esok sekolah bermula!
Semalam dan hari ini, belum tentu kisah setiap detik menjadi sama, tapi dalam cerita-cerita semalam, kisah si duyung dirundung malang, biar kasih belum terurai, kerana cinta jadi tercerai, antara kasih, teman, dan kita terus mengukir senyuman, esok jadi penentuan, buat rakan yang mula meniti lembaran akhir, menulis kata di atas kalam cinta, biar mekar senyuman bonda, biar megah langkah ayahanda, menyambut salam kepulangan anakanda, setelah selesai mengalas tugas di kota, mencari ilmu yang sentiasa dahaga, semoga yang dibaca berbaloi dengan esoknya, hari baru dan langkah baru, salam jauh tapi dekat