Saturday, March 9, 2013

Tazkirah Semalam

Dari Anas RA, Rasulallah SAW bersabda:
Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku, maka dia telah
mengasihiku, dan siapa yang mengasihiku dia
akan masuk syurga bersamaku.
Saya sempat berkunjung lagi ke rumah Tuan Yang Mulia, menceritakan saya tentang kisah-kisah sirah Rasulallah SAW dan para sahabat yang pastinya manusia hebat dan penuh syafaat di negeri Akhirat kelak. Antara intipati pertemuan itu ialah tentang masa manusia dan sejauhmanakah pengisian tersebut untuk persediaan di negeri kekal kelak, yang mana tiada seorang pun akan terlepas untuk berada di satu padang yang luas, khas disediakan untuk manusia yang diizinkan Allah SWT untuk berada di muka bumi dengan tujuan memakmurkan bumi ini. Tuan Yang Mulia memberitahu saya akan masa 24jam itu wajarannya 1/3 setiap perkara yang dilakukan. Contohnya 1/3 masa yang ada dipenuhi dengan amal ibadat, 1/3 dengan tanggungjawab sebagai seorang yang bekerja atau belajar, dan 1/3 dengan istirehat dan meluang masa bersama masyarakat. Tapi persoalan yang dilontar kepada saya, sehingga saya hilang jawapannya ialah; apakah kita penuhi 1/3 masa untuk amal ibadat (kerana kebiasaan melaksanakan tuntutan amalan wajib seperti solat lima waktu) dan apakah cukup amal yang dilakukan oleh kita untuk berhadapan dengan Rabbul Izati Allah yang Maha Berkuasa di mahkamah masyhar kelak? Saya terus menghitung-hitung, berapa amal yang telah dilakukan. Dan pasti sekali tidak mencukupi untuk saya berhadapan dengan Tuhan yang telah menjadikan tanpa mengharapkan balasan daripada kita seperti harta benda, kekayaan, dan kemewahan. Cukuplah sekadar rasa syukur dan penuh pengharapan kepadaNya. Berbalik kepada cerpen karya Gagasan Persuratan Baru, salah satu watak iaitu Pak Tua dalam cerpen Birokrat Tulen, kehidupan yang sederhana dan sejahtera lebih diperlukan daripada kehidupan yang penuh dengan kesenangan. Terus persoalannya, apakah perbezaan antara kesenangan dan kesejahteraan? Perbezaan yang dijelaskan pengarang ialah tentang sejahtera yang adanya perasaan aman dalam hati dan lapang dada. Perasaan damai muncul dengan kebaikan yang dilakukan. Berbeza dengan kesenangan tanpa kesejahteraan yang disamakan dengan kemewahan kaum yang kufur seperti Firaun, Nimrud, Qarun dan lain-lain. Semoga pertemuan saya dengan Tuan Yang Mulia akan dipermudahkan oleh Allah SWT, dan semoga kita beroleh berkat dan manfaat dalam setiap perlakuan kita untuk perjalanan menuju ke negeri yang Kekal kelak. 

Monday, March 4, 2013

Aligupit

Ini antara bahan bacaan saya untuk gagasan ini,
semua saya pinjam dari Perpustakaan ATMA
Alugupit yang telah saya selesaikan pembacaan pada minggu mengupas isu yang begitu besar pada keseluruhan halaman novel karya Dr. Mohd. Affandi Hassan yang mengetengahkan isu pemimpin yang gagal dalam melaksanakan tanggungjawab hakikinya sebagai seorang yang penting dan berpengaruh dalam kerajaannya. Walaupun mempunyai tahap atau kedudukan yang tinggi, namun tindakan watak YB (atau pada hujung karya ini YB bukan merujuk kepada Yang Berhormat, tetepi merujuk kepada Yang Berkuasa) dipertikaikan oleh watak wartawan yang sering menemuramah YB untuk mendapatkan maklumat terkini di samping menempelak tindakan YB seperti membuat tindakan yang salah terutama melibatkan kepentingan rakyat bawahan. Sesuai sekali novel Aligupit ini dibaca dalam situasi hari ini (suasana Pilihanraya ke-13 yang pastinya akan diumumkan beberapa ketika lagi). Alangkah baiknya semua bakal pemimpin wajib membaca novel ini. Biar ada yang terasa (kira ada melakukan kesalahan yang sama dalam novel ini) atau biar menjadi panduan dan pedoman kepada mereka yang bakal memimpin. Salam Perjuangan buat pahlawan negara yang sedang berjuang di Sabah.