Sunday, November 25, 2012

Usrah dan ukhwah

Salam Usrah
Saya ingin menjadi mereka. Setiap percakapan, bukan yang lagha. Semua ditafsirkan dalam erti kehidupan sebenar. Menjadi insan untuk terus mencapai kehidupan yang sempurna bukan hanya di dunia, tetapi di alam kekal akhirat kelak. Petang tadi, sempat berjumpa bakal naqib usrah saya berjumpa rakan ziarah dari Sarawak. Perbualan tentang Hijrah yang baru sahaja berlalu 10 hari yang lepas memberikan saya satu ilmu yang baru. Bahawa Hijrah itu menurut rakan ziarah saya, bukan satu pelarian Nabi Muhammad s.a.w daripada kaum Baginda di Mekah, tetapi Baginda kembali kepada kaumnya yang berada di Madinah. Kerana menurut teman ziarah saya juga, Nabi Muhammad s.a.w mewarisi keturunan Bani yang berada di Madinah (saya lupa akan nama Bani itu). Dan antara yang saya fahami, tentang Assabiyah (berpuak) yang hasanah (membawa kebaikan). Dalam pertemuan dan perkongsian yang sangat singkat itu, saya dipertemukan dengan beberapa teman baru dan kami kukuhkan ukhwah dalam tautan usrah tadi. Semoga kami di dalam rahmat dan redha Mu.

Saturday, November 24, 2012

Bertemu semula

Kuala Terengganu

Antara impian dan harapan, saya pernah berkata di dalam hati ingin kembali menjejak kaki semula di sini. Ketika kapal terbang yang saya naiki mula mendarat, hati saya seakan terpanggil dan mula memainkan semula kenangan. Terengganu sesekali menggamit semula memori saya bersama teman-teman semasa konvensyen Usahawan Muda peringkat kebangsaan 2006. Tetapi kali ini, berbeza sekali. Saya datang antara ziarah dan jemputan rakan yang saya kenal sebagai seorang yang begitu banyak membantu saya. Terus saya lalui jalan-jalan yang pernah saya singgah dahulu. Cepat perubahan dan pembangunan. Saya mohon bicara singkat ini. Saya sambung Inshaa Allah di pertemuan lain. Oh ya, gambar-gambar konvokesyen Ijazah Pertama saya mungkin di ruang dan senggang yang lain.