Thursday, December 26, 2013

Selamat Tahun Baru

Selamat Tahun Baru 2014
Lama saya tidak menconteng ruang yang semakin sepi ini. Syawal lalu langsung tiada ucap selamat dan juga tahun Hijrah yang baru. Mungkin saudara juga sama seperti saya. Kekangan waktu yang benar-benar menyebabkan kita terasa masa berlalu pantas. Usia semakin meningkat walaupun jiwa meronta mahu muda selamanya. Benar? Tahun Masihi ini akan berakhir beberapa hari lagi. Saya membaca majalah Gen-Q keluaran bulan ini. Antara isinya ialah Hijrah. Mungkin hijrah setiap kita berbeza. Saya dengan matlamat hijrah dari tidak baik kepada baik. Saudara mungkin hijrah dari baik kepada lebih baik. Lebih penting ialah melakukan perubahan. Sedikit tetapi berterusan lebih baik daripada banyak tetapi berhalangan. Lalu saya fikirkan sambutan 2014 yang akan datang diraikan dengan penuh kesyukuran. Imbau kembali kenangan dan peristiwa yang pahit dan manis. Seterusnya disatukan menjadi nilai positif dalam diri kita. Semoga tahun baru ini lebih banyak pencapaian dan kejayaan yang akan menjadi milik kita!

Thursday, June 20, 2013

Ruang dan Waktu

Doakan rahmat untuk sekalian alam

Antara kurniaan Allah SWT yang tidak akan dapat kita kembalikan dengan apapun kudrat antaranya ruang dan waktu. Ruang yang saya maksudkan kesempatan seperti usia, pertemuan, kenangan. Dan waktu pasti sekali saat-saat yang berlalu, tak pernah ada yang akan memutar jarum jamnya walaupun berusaha menipu diri sendiri. Ramai yang menyesali ruang dan waktu yang berlalu, tapi ramaikah yang menyedari perjalanan yang semakin hampir kepada Pencipta Yang Maha Agung? Dan beberapa hari lagi Ramadhan al-Mubarak yang dijanjikan dengan pelbagai ganjaran dan pahala datang kembali menemui hamba-hamba Allah yang hauskan nikmat Tuhannya. Saya menghitung perjalanan Ramadhan nanti dengan pelbagai pengisian siang dan malamnya supaya sangat bermanfaat. Semoga kita diberi kesempatan dan peluang untuk merebut bonus-bonus yang akan ditebus di negara kekal kelak. InshaAllah, Salam Ramadhan al-Mubarak!

Saturday, June 1, 2013

Pencarian HIKMAH

1 & 2 Jun hari besar untuk masyarakat
Dayak di Sarawak
Minggu lepas saya menghadiri bengkel penyelidikan untuk sastera kanak-kanak, dan saya diberikan kesempatan membentangkan kertas kerja tentang peranan Perbadanan Kota Buku dalam penerbitan sastera kanak-kanak. Antara yang hadir ialah pensyarah kursus saya, rakan kuliah dan tetamu istimewa Puan Ummu Hani yang merupakan seorang penulis dan juga pendakwah melalui penghasilan karya beliau. Antara perbincangan yang sehingga kini masih terngiang di telinga dan minda saya ialah "pencarian Hikmah" yang sebenarnya sentiasa bersama kita dalam setiap tingkah laku termasuk dalam bidang penulisan. Menghasilkan sesuatu yang akan mendatangkan manfaat kepada orang lain. Mungkin dalam tutur kata misalnya, terlalu dekat dan kerap kita gunakan. Adakah kita benar-benar berhikmah semasa berbicara atau sekadar perbualan kosong yang akan disudahi dengan penyesalan di hari kemudian. Saya teringatkan sedikit kupasan rakan baru saya dari Kepulauan Riau, antaranya menyebut tetang kehidupan dunia yang penuh dengan mimpi dan impian yang tiada kesudahan. Dan kita akan tersedar dari mimpi tersebut apabila dipanggil semula Allah yang mencipta dan menjadikan kembali ke tempat asal iaitu tanah. Terus timbul persoalan, apakah amalan kita seharian sudah mencukupi untuk tinggal di negara kekal, dan ketika kita dipersoalkan di Padang Mashyar yang besar dan luas dengan pertunjukkan amalan-amalan lalu kita yang memalukan, kita akan mampu berdebat ketika anggota badan menjadi saksi? Berebutlah memenuhkan tabung amalan kita untuk persediaan jual beli di hari Akhirat yang penuh dengan penyesalan. Ya Allah, tetapkanlah iman kami! 

Saturday, May 18, 2013

SubhanAllah, Alhamdulilah, Allahuakbar!

Sampaikan kami ke bulan Ramadhan Kareem!
SubhanAllah, Alhamdulilah, Allahuakbar! Saya lafazkan rasa syukur dan sujud atas kurniaan terbesar yang saya perolehi menjelang hari lahir saya 16 Mei. Berkongsi hari dengan para pendidik seluruh dunia membuatkan saya semakin sibuk mengemaskini ruang-ruang kosong yang sebelum ini tidak pernah ada yang sudi melawat. Saya dan seorang rakan menghitung-hitung, cukupkah bekalan amalan untuk negara akhirat yang kekal kelak. Apakah saya antara mereka yang berada di kanan atau di kiri seperti yang terdapat dalam surah al-Waqiah. Saya melafazkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT, Nabi Muhammad SAW Rasul sepanjang zaman, ayahanda dan bonda tercinta, adik beradik, kaum keluarga, guru-guru, rakan-rakan muslimin dan semuanya atas doa dan tanda ingatan yang lalu. Semoga saya dan semuanya mendapat limpahan rahmat berganda-ganda dari Allah yang Maha Besar!

Thursday, May 9, 2013

Silakan YB

Seperti biasa, setelah lama saya biarkan rumah ini ditinggalkan, saya kembali mengisi semula bekas-bekas yang kosong dan penuh tanda tanya tentang cerita yang tanpa noktah di sini. Dan seperti biasa, rumah tanpa tetamu ini jarang menerima kunjungan semenjak beberapa tika ini kerana tuan rumahnya semakin jarang kembali ke sini. Luar biasa sungguh sejak pertengahan Mac, saya baru kembali dipanggil oleh jiwa saya yang penuh dengan tanda tanya menjenguk tetamu saya (yang sepatutnya mereka menjenguk saya). Sepanjang saya tinggalkan ruang ini, banyak kisah yang berlaku dan tidak sempat saya catatkan di sini. Bermula Hikayat di Lahad Datu, kemudiannya disudahkan baru-baru ini Hikayat PRU 13 yang sangat hangat diceritakan di sana sini (tak perlu saya ceritakan kerana pasti semua yang menggunakan ruang siber sempat secara kebetulan atau tidak membaca kisah-kisah suka dan lara PRU ini). Ini bukan kisah baru, masuk kali ke 13 pilihanraya, kali ini benar-benar satu pertempuran hebat kerana dunia, Malaysia utamanya memiliki pengunjung alam maya yang besar. Seperti kisah Hang Tuah yang dihukum raja tanpa usul periksa (begitulah saya analogikan rakyat Malaysia sebilangannya yang menjatuhkan atau kata lain berkongsi pandangan tanpa usul dan periksa). Mungkin saudara melihat bagaimana pelbagai isu yang disampaikan begitu cepat dan luas (tapi pernahkah kita mengira dan menyelidiki sahihnya apa yang kita kongsikan? Atau hanya kita sengaja dengan menekan butang-butang pada kekunci untuk memperlihatkan apa yang kita suka dan tidak suka?) Kisah Melayu dan bangsanya yang agung satu ketika dulu semenjak zaman kesultanan Melayu Melaka benar-benar menguatkan lagi pemikiran bangsa akan akar tunjangnnya. Apakah hanya sekadar melaungkan slogan atau kata semangat kita dikatakan partiotik? Meletakkan bendera-bendera juga sebagai semangat patriotik? Apakah tidak dengan menjaga hubungan setiap individu itu walaupun tanpa menggunakan sebarang material tidak dianggap sebagai patriotik? Mungkin kerana kita pada hari ini terlalu bersifat kebendaan (material yang saya tulis pertama sama dengan apa yang saya maksudkan ini), atau kita semakin lupa tentang keharmonian yang perlu dijaga. Mungkin kisah-kisah bagaimana raja Melayu memperkuatkan institusi pemerintahannya melalui menjalankan hubungan baik dengan kerajaan luar dapat dianalogikan dengan apa yang berlaku pada hari ini. Jika tidak kerana kebijaksanaan raja Melayu, Kesultanan Melayu Melaka mungkin diserang oleh kuasa besar seperti China pada masa itu, (atau beberapa kerajaan lain yang saya tidak nyatakan di sini) dengan menjaga hubungan keharmonian ini. Hari ini, negara dikejutkan lagi dengan pelbagai isu yang tidak enak dihadamkan oleh mata, telinga dan pemikiran bangsa. Sehingga bila setelah berapa dekad merdeka kita disajikan semula dengan perhubungan bangsa yang semakin longgar. Perlukah kita membina semula seperti kanak-kanak yang diajar mengenal abjad dan nombor sedangkan kita telah lama menghafalnya. Semua bermula dari diri sendiri. Kefahaman tentang nilai, jati diri dan keharmonian yang sebenar perlu dilihat semula sebagai teras pembinaan negara yang harmoni selain menghapuskan korupsi yang ada dalam negara. Maaf kepada tetamu yang menjenguk saya ketika ini dengan sajian yang berbaur politik kerana saya pasti saudara sudah muak menerima jamuan ini, tetapi saya segan menyajikan jamuan ini di rumah facebook saya kerana ramai lagi yang membicarakannnya. Jumpa lagi di lain entry. Jangan kerana nyamuk seekor, habis kelambu dibakar. 

Saturday, March 9, 2013

Tazkirah Semalam

Dari Anas RA, Rasulallah SAW bersabda:
Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku, maka dia telah
mengasihiku, dan siapa yang mengasihiku dia
akan masuk syurga bersamaku.
Saya sempat berkunjung lagi ke rumah Tuan Yang Mulia, menceritakan saya tentang kisah-kisah sirah Rasulallah SAW dan para sahabat yang pastinya manusia hebat dan penuh syafaat di negeri Akhirat kelak. Antara intipati pertemuan itu ialah tentang masa manusia dan sejauhmanakah pengisian tersebut untuk persediaan di negeri kekal kelak, yang mana tiada seorang pun akan terlepas untuk berada di satu padang yang luas, khas disediakan untuk manusia yang diizinkan Allah SWT untuk berada di muka bumi dengan tujuan memakmurkan bumi ini. Tuan Yang Mulia memberitahu saya akan masa 24jam itu wajarannya 1/3 setiap perkara yang dilakukan. Contohnya 1/3 masa yang ada dipenuhi dengan amal ibadat, 1/3 dengan tanggungjawab sebagai seorang yang bekerja atau belajar, dan 1/3 dengan istirehat dan meluang masa bersama masyarakat. Tapi persoalan yang dilontar kepada saya, sehingga saya hilang jawapannya ialah; apakah kita penuhi 1/3 masa untuk amal ibadat (kerana kebiasaan melaksanakan tuntutan amalan wajib seperti solat lima waktu) dan apakah cukup amal yang dilakukan oleh kita untuk berhadapan dengan Rabbul Izati Allah yang Maha Berkuasa di mahkamah masyhar kelak? Saya terus menghitung-hitung, berapa amal yang telah dilakukan. Dan pasti sekali tidak mencukupi untuk saya berhadapan dengan Tuhan yang telah menjadikan tanpa mengharapkan balasan daripada kita seperti harta benda, kekayaan, dan kemewahan. Cukuplah sekadar rasa syukur dan penuh pengharapan kepadaNya. Berbalik kepada cerpen karya Gagasan Persuratan Baru, salah satu watak iaitu Pak Tua dalam cerpen Birokrat Tulen, kehidupan yang sederhana dan sejahtera lebih diperlukan daripada kehidupan yang penuh dengan kesenangan. Terus persoalannya, apakah perbezaan antara kesenangan dan kesejahteraan? Perbezaan yang dijelaskan pengarang ialah tentang sejahtera yang adanya perasaan aman dalam hati dan lapang dada. Perasaan damai muncul dengan kebaikan yang dilakukan. Berbeza dengan kesenangan tanpa kesejahteraan yang disamakan dengan kemewahan kaum yang kufur seperti Firaun, Nimrud, Qarun dan lain-lain. Semoga pertemuan saya dengan Tuan Yang Mulia akan dipermudahkan oleh Allah SWT, dan semoga kita beroleh berkat dan manfaat dalam setiap perlakuan kita untuk perjalanan menuju ke negeri yang Kekal kelak. 

Monday, March 4, 2013

Aligupit

Ini antara bahan bacaan saya untuk gagasan ini,
semua saya pinjam dari Perpustakaan ATMA
Alugupit yang telah saya selesaikan pembacaan pada minggu mengupas isu yang begitu besar pada keseluruhan halaman novel karya Dr. Mohd. Affandi Hassan yang mengetengahkan isu pemimpin yang gagal dalam melaksanakan tanggungjawab hakikinya sebagai seorang yang penting dan berpengaruh dalam kerajaannya. Walaupun mempunyai tahap atau kedudukan yang tinggi, namun tindakan watak YB (atau pada hujung karya ini YB bukan merujuk kepada Yang Berhormat, tetepi merujuk kepada Yang Berkuasa) dipertikaikan oleh watak wartawan yang sering menemuramah YB untuk mendapatkan maklumat terkini di samping menempelak tindakan YB seperti membuat tindakan yang salah terutama melibatkan kepentingan rakyat bawahan. Sesuai sekali novel Aligupit ini dibaca dalam situasi hari ini (suasana Pilihanraya ke-13 yang pastinya akan diumumkan beberapa ketika lagi). Alangkah baiknya semua bakal pemimpin wajib membaca novel ini. Biar ada yang terasa (kira ada melakukan kesalahan yang sama dalam novel ini) atau biar menjadi panduan dan pedoman kepada mereka yang bakal memimpin. Salam Perjuangan buat pahlawan negara yang sedang berjuang di Sabah. 

Thursday, February 28, 2013

Gagasan Baru

Kenangan yang mungkin mustahil
untuk kami potretkan kembali
Tugasan kuliah untuk kursus sarjana saya di semester dua ini terus bermula. Dengan memilih pengkaedahan atau teori tempatan/Melayu, saya memulakan dengan Gagasan Persuratan Baru yang diperkenalkan oleh Dr. Mohd. Affandi Hassan. Isi dan maklumat yang padat perlu dihadam dengan rasa rendah diri untuk memastikan saya benar-benar faham akan teori yang sangat menekankan konsep ilmu sastera yang seharusnya memanfaatkan. Terus saya ke perpustakaan siang tadi (suasana lengang tidak seperti di hujung semester) benar-benar merasakan perubahan pada diri saya. Kali ini tanpa rakan-rakan kuliah seperti di peringkat ijazah pertama, saya meneruskan langkah menuju gudang buku. Benar. Saya tidak pernah ke perpustakaan pada awal semester (mungkin hanya pada semester pertama di tahun pertama). Matlamat sebagai mahasiswa seharusnya dihabiskan di tempat sebegini. Tetapi kepelbagaian hiburan yang memerlukan kepantasan teknologi menyebabkan mahasiswa termasuk saya memilih untuk tidak ke sini. Perkenalan saya dan Gagasan Persuratan Baru ini akan lebih mesra lagi nanti tetapi saya mulakan untuk bersama Aligupit. Kisah pemimpin politik yang mementingkan kejayaan dirinya secara mutlak tanpa memikirkan nasib masyarakat sekeliling. Sesuai dengan suasana politik sekarang. Pilihanraya yang akan datang menjadikan keghairahan media massa mengeluarkan pelbagai berita sensasi. Kisah perkenalan saya bersama Aligupit akan saya kembangkan lagi dipertemuan akan datang ya. Salam pencarian, dan selamat sampai ke destinasi yang semuanya. 

Monday, February 11, 2013

Cerita Ini

Selamat Hari Lahir
Minggu lepas saya bersama rakan menyambut hari lahir seorang teman. Di tempat yang sama, minggu sebelumnya saya datang dan berjumpa dengan ramai rakan-rakan lama yang kebetulan makan di situ. Saya menjadi hairan, memori saya tentang rakan-rakan hampir pudar. Ada yang saya jumpa jarang saya jadikan teman bicara semasa di sekolah. Kami mula mengukir semula kenangan semasa berada di sekolah dan bercerita tentang kenangan yang telah berjaya dicipta. Saya doakan semoga persahabatan yang ada akan dapat kami teruskan. Dan kepada saudara saya yang menyambut hari lahir bersama teman istimewanya, saya doakan semoga tercapai segala impian. 

Sunday, February 3, 2013

Pengalaman

Terbang lagi?
Saya masih menghitung-hitung, sama ada kembali ke pembukitan ilmu atau terus berada di samping keluarga tercinta. Juga tentang cita-cita dan harapan yang seringkali saya fikirkan, habiskan atau tinggalkan? Membiarkan hari-hari berlalu tanpa sebarang kisah yang membawa kepada satu pengalaman baru, saya kembali ke tempat lama mencuba sesuatu yang mungkin masih lama tapi dalam suasana yang sedikit berbeza. Mungkin akan bertemu rakan yang menyenangkan, atau mungkin teman yang menggusarkan. Saya menanam hasrat membiarkan sekeliling saya menjadi kosong apabila saya berdiri di sana. Memberikan fokus kepada tetamu-tetamu yang hadir, dan sesekali menjenguk jiran andai saya rasa diperlukan atau perlu. Hati saya berdebar-debar, tapi saya sudah fikirkan helah untuk keluar dari situ dalam seminggu dua ini andai kehadiran saya tidak menyelesakan orang lain, atau mungkin saya sendiri yang tidak selesa. Malam-malam yang meninggalkan luka-luka buat insan yang mencari, tapi percaya akan Tuhan yang tidak pernah melupakan hambaNya yang sering lupa akan kebesaran Tuhan yang Maha Esa. Titipkan doa buat saya dan semua, sentiasa dalam landasan umat yang diredhai dan dikasihi. 

Wednesday, January 30, 2013

Kesabaran

Anak comel ini  benar-benar
pandai menggayakan dirinya.
Demi Allah yang menciptakan makhluk seluruh alam. Yang tidak pernah sesekali meminta untuk hambaNya membalas rahmat dan nikmat yang ada dengan kebendaan dunia yang melekakan, melainkan menyeru hambaNya terus melakukan perkara makruf dan meninggalkan yang mungkar. Beberapa minggu cuti semester ini saya luangkan mengisi berpuluh-puluh kekosongan jawatan yang disiarkan di laman web dan surat khabar. Jelas memang sukar sekali untuk seorang yang berkelulusan dalam bidang sastera untuk memenuhi kekosongan walaupun sekadar seorang promoter. Beberapa kali dipanggil untuk temuduga, sekali bersama bakal rakan sekerja, temuduga bersama pihak pengurusan, temuduga bersama pengurus, memang mencabar kesabaran. Saya berulang-alik adakalanya untuk menghantar secebis potret wajah, dan saya tertanya-tanya, adakah ini satu cara untuk mereka menguji saya sebelum memasukkan saya sebagai sebahagian daripada mereka. Tapi bukankah rezeki Allah itu luas. Saya membaca selawat dan memperbanyakkan istifar. Menyedari akan kebesaran Allah yang Maha Adil dan Maha Bijaksana. Allah ingin meletakkan saya benar-benar pada tempatnya. Semoga kesabaran membawa kita kepada jalan yang benar dan diredhai olehNya. Hujan di Kuching lewat malam ini benar menginsafkan. Saya membaca catatan hadis pada kalendar Hijrah, antaranya ialah Nabi Muhammad saw telah bersabda yang bermaksud, "Siapa yang menghulurkan kepadamu suatu kebaktian, maka balasilah dia, dan jika kamu tiada apa-apa balasan, maka hendaklah engkau doakan kepadanya." Riwayat Muslim. 

Friday, January 11, 2013

Hujan & Hebat

Biar Hujan Mencurah Lagi
Hujan yang tak berhenti ini antaranya rahmat untuk semua. Bagi saya hujan ini menenangkan hati yang tiba-tiba penuh dengan rasa sakit. Tapi mungkin rahmat ini berbeza buat rakan-rakan lain. Ada yang sejuk dari kepanasan siangnya, dan mungkin ada sedap diulit tidur. Mungkin untuk makhluk lain, seperti tumbuhan segar disiram air dari langit yang suci. Antara nikmat yang diberikan Tuhan, jarang kita menghitung nikmat-nikmat yang telah diperoleh dahulu. Saya sendiri, ya. Jarang sekali. Melihat kejayaan orang lain, terdetik rasa keinginan. Dan sungguh saya tidak pernah merasa dengki. Tapi kadang-kadang, seolah-olah orang itu cuba menunjukkan kelebihan dirinya tanpa kita perlukan. Saya memikirkan tentang perubahan dalam diri seseorang. Mungkin, kerana dirinya sudah merasakan hebat. Duduk dan berdirinya hanya dengan orang tertentu. Saya pun pada aras yang sama. Tetapi perlukah kita menunjukkan kehebatan diri kita? Semua perjalanan diri dipaparkan seolah-olah matlamatnya untuk menyatakan dirinya hebat. Saya hairan sehari-hari ini. Mengapa perlu sikap yang demikian. Bukankah Allah telah menciptakan diri kita yang hina? Dan mengapa kita menyombongkan diri hanya untuk dipandang hebat. Oh hujan yang mencurah, segar dan sucikan hati kami yang kotor.

Wednesday, January 2, 2013

Sekolah

Jom ke sekolah!
Hari ini semua bicara tentang sekolah, baik yang masuk tadika, darjah atau tingkatan, tak kurang di kampus UKM sibuk dengan minggu peperiksaan, Tak semua berpeluang merasa nikmat kesekolah, ada yang mungkin hanya sempat belajar mengira dan mengenal abjad, dan tak kurang yang langsung tidak pernah melihat kapur, semuanya kemungkinan bukan? Tapi kita hari ini terlalu selesa dengan kesenangan dan kemudahan yang diberikan, tanpa kita memikir akan simpati teman-teman yang tiada, Saya mengira akan nikmat-nikmat yang ada, tapi tidak pernah terhitung dengan akal dan minda, kerana semua yang ada adalah nikmat kurnia yang pasti tidak mampu dibayar pada Tuhan yang Mencipta segala-galanya, mohon maaf khilaf-khilaf yang ada

Tuesday, January 1, 2013

Hari Baru

Esok sekolah bermula!
Semalam dan hari ini, belum tentu kisah setiap detik menjadi sama, tapi dalam cerita-cerita semalam, kisah si duyung dirundung malang, biar kasih belum terurai, kerana cinta jadi tercerai, antara kasih, teman, dan kita terus mengukir senyuman, esok jadi penentuan, buat rakan yang mula meniti lembaran akhir, menulis kata di atas kalam cinta, biar mekar senyuman bonda, biar megah langkah ayahanda, menyambut salam kepulangan anakanda, setelah selesai mengalas tugas di kota, mencari ilmu yang sentiasa dahaga, semoga yang dibaca berbaloi dengan esoknya, hari baru dan langkah baru, salam jauh tapi dekat