Saturday, January 29, 2011

Kesibukan terus Terusan

Menentang pasukan Persuratan 1, saingan yang hebat
Seusai program di Melaka minggu lalu, terus aku biarkan diriku berkampung di Makmal Pengajian Melayu selama tiga hari. Berbalas pantun pagi dan petang. Mengerah otak mengeluarkan segala isi dan bahasa rias yang asli dan indah. Tiga hari tanpa henti, ku biarkan demam dan lesu berada pada tahap yang paling bawah sekali dalam nota hariku. Tanpa duga, kemenangan berpihak pada kami untuk terus mengejar tempat kedua atau pertama. Memang tidak pernah diduga untuk pergi sejauh ini. Memasuki pusingan akhir yang akan berlangsung dua minggu lagi. 
Benang segulung jangan ditelan,
          Kalau ditelan sakit terasa,
Kalah dan menang bukan soalan,
          Bersama memartabat budaya bangsa.
Mudahan pantun Melayu terus segar seiring kemajuan negara.

Mengapa Aku?

Akan ku terima cintamu
Ketika mula meringankan jari-jemari menghasilkan bunyi-bunyi halus pada papan kekunci, azan Maghrib berkumandang melepasi rintik-rintik hujan yang berguguran. Kesunyian terasa jelas ketika tasbih-tasbih dibaca syahdu. Lalu mengapa aku terus duduk di bangku ini. Membiarkan ayat-ayat suci itu berlalu meninggal pergi. Membiarkan penantian itu berterusan. Terus kepenatan aku sandarkan pada setiap alasan yang ada. Tetapi secara sedar, aku yang perlu menyedarkan mereka yang lalai. Tetapi mengapa aku membiarkan diri terus kaku dan layu bersama noda-noda yang lain. Membiarkan mereka terus berkata akan sikap diriku. Mengapa aku? Salahkah aku? Ya, memang salah! Kau biarkan aku terus bersama noda bawah sedar. Kerana memikirkan keasyikan luluh dan terus. Sedangkan tahu, cintaku bukan di situ. Bukan untuk dia. Bukan untuk mereka.

Saturday, January 15, 2011

Patah tumbuh Hilang Berganti

Gambar kenangan selesai Mesyuarat Agung Tahunan Pemasra sesi 2009/2010
Masa berlalu begitu pantas. Tanpa kita sedari, kita begitu asyik memikirkan esok tanpa menikmati hari ini yang sedang kita nikmati. Perjuangan yang sepatutnya kita curahkan semaksimum mungkin usaha dibiarkan begitu sahaja dan hanya membiarkan ianya berlalu tanpa sedikitpun sentuhan perubahan. Terus saya lihat ke dalam diri sendiri, begitu terhakisnya rasa perjuangan. Tidak seperti mereka yang telah berjaya membuktikan hasil walaupun adakala tingkah dan langkah kurang disenangi. Sesekali menjenguk kisah perjuangan Rosli Dhoby. Seorang pahlawan Sarawak yang melakar sejarah negaranya dengan titisan air mata dirinya dan keluarga. Lakaran dengan darah Duncan George Steward yang menjadikan perjuangan Rosli Dhoby semakin memancarkan cahaya. Seawal usia 17 tahun, melakukan perjuangan yang cukup besar buat negaranya. Saya sendiri yang terlalu jauh memikirkan perkara itu. Lalu bagaimana semangat itu perlu kami pupuk dalam jiwa. Bukan kerana rasa kenegerian dalam diri, tetapi kerana rasa semangat dan cintakan tanah air. Tidak sekali saya tanamkan jiwa silu dalam diri, mengaku jati Bumi Kenyalang. Ya, negeri itu satu masa dahulu masyarakatnya mundur. Tapi kini, setanding negeri-negeri maju dalam Malaysia. Kitalah bangsa pewaris. Memikul tanggungjawab besar dalam menceritakan pembangunan negeri tercinta. Bukannya berlindung di balik wajah-wajah yang sememangnya jelas terlakar anak Kenyalang. Semoga saya dan saudara, terus mencintakan negeri lahirnya diri. Kerana bangsa yang berjaya adalah bangsa yang mengenal tanah lahirnya.

Sunday, January 9, 2011

Saturday, January 8, 2011

Pilihanraya umum VS Kampus

Saya dan rakan saya sempat merakamkan kenangan
di Program DAKAP baru-baru ini di UPM
Menghadiri satu seminar mengenai politik pada awalnya saya sangkakan suatu yang sangat mudah. Duduk mendengar dan tidak perlu mengulas mahupun memberikan sebarang pandangan. Kerana saya hanya jemputan yang tidak rasmi dan langsung tiada latar melansungkan saya perlu memberi pandangan walaupun sesekali dipinta. Kadang-kadang malas mendengar. Semua politik sama, pembangkang dan kerajaan masing-masing punya wadah yang cukup kuat untuk para pencari kebenaran. Aku tidak pernah berfikir untuk berdiri di pentas itu. Memikirkan agenda dan adegan yang sebaik mungkin untuk memenangi hati-hati yang tidak pasti. Membandingkan mereka dengan "mereka" seolah-olah tidak adil di situ. Bukankah mereka dan "mereka" hampir sahaja sama, menyokong apabila di dalam, dan membangkang apabila di luar. Tapi itulah kisah mereka. Entah suka atau derita mereka ini. Saya pun tidak pasti. Tapi dari senyuman yang terukir di tiap satu-satu bibir mereka, pastinya mereka puas. Saya sehingga kini, terfikir lagi. Dalam ketika mahasiswa diharamkan daripada menyertai politik yang sedang hangat memuncak, tetapi mereka ditiupkan dengan api-api politik yang mencengkam. Bukankah itu kejam? Atau lebih baik "jahil'?

Friday, January 7, 2011

Dan tangan-Tangan Itu

Semua hampir sama
Ketika menyelusuri lorong-lorong kecil yang memperlihatkan beberapa keindahan alam di kelilingnya, terdengar sayup-sayup suara anak jati yang sebangsa denganku berlari-lari dengan penuh keasyikan mengatasi pahit hari-hari berlalu. Siapa sangka, ribuan umat yang dicabar hari-harinya, ada satu ke dua sahaja dipilih menjunjung beberapa produk keluaran kilang masing-masing. Lantas aku memikirkan, mengapa mereka masih hilang kasih antara mereka. Setelah berada di kota luas ini, keagungan tidak lagi di bahu teman-teman larian tadi, tetapi diletakkan pada mereka yang menjadi saingan ribuan teman mereka yang ketinggalan dek arus pembangunan negara yang semakin mengancam. Kebaikan tidak lagi nampak pada wajah-wajah kami, tetapi hanya pada wajah palsu yang belum jelas pada pandangan mereka. Tidak mengapa adinda dan kanda, satu hari nanti setelah kau susuri jalan yang semakin jauh ini, akan dipalit pada wajahmu, kisah lara derita anak rantau.

Monday, January 3, 2011

Kelahiran bagiku Istimewa

Saudara Irman Fareed memperkenalkan saya dan mereka, terima kasih
Saya baru-baru ini dipelawa seorang rakan untuk mendengar Funkerfm. Terus saya pasangkan radio internet itu setiap kali saya menemani laptop usang saya ini. Hari ini, saya tukarkan lagu Kelahiran nyanyian Adi Putra dan memasangkan radio Funker ini di laman blog saya. Kadang-kadang, lahir tidak semestinya keindahan. Ada juga lahir yang menyeksakan. Tapi lahirnya tidak pernah dipinta. Mereka pun ingin menjadi seperti biasa. Tapi kelahiran mereka tidak seindah yang mereka dambakan. Menjadi pujaan ramai. Matanya beralis lebat. Pipinya gebu seputih kapas. Tangannya cukup dengan jari-jari yang lentik. Kakinya melangkah dengan cekap. Tapi tidak mengapa sayang, bukankah kita makhluk sama sahaja. Tiada istimewa. Kerana perhiasan dunia ini tidak dapat kita buat bekalan di Hari sebenar. Bersabar sayang. Semoga dirimu dalam rahmat Ilahi, juga diriku dan mereka.

Saturday, January 1, 2011

Selamat tahun Baru 2011

Setiap helai daun pada pokok dapat dilihat pada mata, tetapi
pernahkah kita mengucap kasih pada-Nya

Selamat Tahun Baru Masihi semua. 2011. Panjang usia dunia ini. Terima kasih tuhan kerana memanjangkannya. Untuk diri kami dan mereka yang akan dilahirkan. Terus aku titip satu-satu kata sebagai tanda kenangan tentang masa ini untuk satu masa nanti. Jarang kita meletakkan azam pada tuhan yang menciptakan. Kerap kita meletakkan azam pada ciptaan tuhan. Memikirkan masa depan dunia, tertinggalkan masa depan akhirat yang kekal selamanya. Saya tidaklah semulia kekasih Allah. Merindui titah tuhan dan kadang-kadang teralpa dengan perintahnya. Kadang saya bandingkan diri dengan teman-teman lain. Jauh sekali mereka dari noda pada pandangan saya sendiri. Untuk menjadi seperti mereka, pasti sekali mahu. Tetapi saya terasa jauh ketinggalan di belakang mereka dalam menuju ke jalan Pencipta yang Agung. Begitu banyak nikmat Allah yang tidak pernah kita fikirkan sebagai satu tanda yang perlu kita syukurkan dan pasti sekali tidak dapat kita dustakan. Semoga tahun ini, bukan hanya sebagai tahun untuk kita bersuka ria, menjadualkan penuh aktiviti untuk manusia yang kita cintai,   tetapi juga untuk menghambakan diri dengan serendah-rendah darjat, untuk menjadi setinggi-tinggi martabat di Hari Pembalasan. Sempat saya bacakan beberapa baris ayat suci al-Quran dari surah Ar-Rahman : 
Dan Allah telah meratakan bumi untuk makhluk(Nya), di bumi itu ada buah-buahan dan pohon kurma yang mempunyai kelopak mayang. (QS. 55:10-11)