Friday, September 17, 2010

Selamat Hari Malaysia

Saya dan rakan bergambar di salah satu tugu peringatan
yang terdapat di tengah Bandaraya Kuching.
16 September merupakan tarikh yang telah menyatukan dua kawasan yang terpisah oleh Laut China Selatan dalam pembentukan negara Malaysia. Pada tarikh itu, Sarawak dan Sabah telah bersama membentuk kerajaan Malaysia. Semangat patriotik digambarkan sekali lagi oleh seluruh rakyat Malaysia dengan Sambutan Hari Malaysia yang merupakan cuti umum. Kesempatan ini diambil oleh saya sendiri untuk mengenang kembali peristiwa mencapai kemerdekaan terutama negeri Sarawak. Nama-nama pejuang seperti Rentap dan Rosli Dhoby bukan lagi asing bagi masyarakat di Sarawak ini. Rosli Dhoby yang merupakan seorang remaja berusia 16 tahun, telah mula menganggotai kumpulan untuk melepaskan Sarawak daripada British amat saya hargai. Pengorbanan yang begitu mulia seawal usia itu tidak mungkin dapat saya lakukan. Rentap yang merupakan pejuang Sarawak yang berbangsa Dayak melihatkan perjuangan untuk membebaskan Sarawak daripada terus tertindas. Perjuangan para pahlawan dalam usaha mencapai kemerdekaan tidak seharusnya dipandang ringan tetapi perlu menjadi sebahagian daripada ingatan kita semua dalam memastikan negera akan terus merdeka daripada sebarang ancaman yang akan mengakibatkan kemakmuran dan keharmonian yang telah dicapai diganggu gugat. 

Friday, September 10, 2010

Gesang Martohartono

Sebut sahaja nama Gesang Martoharta atau Gesang, mungkin ada antara kita yang tidak mengetahui siapa pemilik nama ini. Tetapi reaksi mungkin berbeza apabila kita sebutkan nama salah satu hasil ciptaannya iaitu lagu Bengawan Solo, ada antara kita yang akan tersenyum dan terus mengingati kembali lirik dan alunan lagu yang penuh merdu dengan alunan keroncongnya. Bengawan Solo merupakan sungai yang terpanjang yang terdapat di Indonesia. Lagu Bengawan Solo yang dihasilkan oleh Gesang menceritakan tentang keadaan kawasan Sungai Bengawan Solo ini yang digambarkan oleh beliau sebagai sebuah kawasan yang aman dan damai sekali. Gesang merupakan seorang penyanyi dan pencipta lagu yang amat tersohor di Indonesia. Beliau yang lahir pada 1 Oktober 1917 dan telah meninggal dunia pada 20 Mei 2010. Kehebatan Gesang begitu hebat pada hayatnya. Seorang penyanyi dan pencipta lagu yang lebih cenderung kepada keroncong telah memberi peluang kepada dirinya untuk melebarkan sayap perjuangannya dalam kerjayanya sebagai penyanyi dan pencipta lagu apabila popularitinya meningkat dengan sebuah lagu ciptaannya iaitu Bengawan Solo. Populariti Gesang melalui lagu Bengawan Solo ini bukan hanya di Indonesia tetapi juga mendapat sambutan di Jepun. Lagu ini telah diterjemahkan dalam beberapa bahasa asing selain Bahasa Jepun ialah seperti Bahasa Inggeris. Kejayaan Gesang ini bukan hanya dapat mempopularkan dirinya, tetapi juga telah berjaya memperkenalkan negara dan bangsanya dengan lirik yang menceritakan tentang Sungai Bengawan Solo yang terdapat di Indonesia ini.  

Friday, September 3, 2010

Balik Kampung!

Bersusun panjang semuanya untuk menaiki pesawat.
Bas yang membawa aku daripada KTM Nilai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(LCCT) bergerak pantas diiringi alunan lagu-lagu raya yang penuh nostalgia dan seolah-olah memahami mood para penumpang di dalam perutnya. Aku yang duduk di kerusi hadapan sekali, dapat melihat hiruk-pikuk jalan yang sudah semakin ramai penggunanya. Hampir 45 minit di dalam perut bas, aku dan para penumpang dimuntahkan dan berduyun-duyun kami menuju ke pintu masuk LCCT. "Perhatian kepada penumpang-penumpang pesawat AK2188 ke Kuching, sila ke pintu 9 untuk penerbangan segera." Oh, aku kelewatan. Kaget. Aku segera menceroboh dompet ku mencari kad pengenalan diri. Aku bergegas menarik beg ke kuanter pendaftaran. Kencang dadaku berdegup. Sampai di hadapan kuanter, satu senyuman menyapaku. Ah, senyuman itu menghentikan degupan kencangku. Si manis berbaju seragam merah membantu aku. "Terus ke pintu 9 ya." katanya. Aku yang asyik memerhati kesopanan dan kesantunannya tersedar yang aku kelewatan. Oh, itu pintu 9. Aku melihat barisan di pintu 9 semakin berkurangan. Langkah ku semakin pantas. "Selamat datang ke penerbangan AirAsia." sapa seorang staf di balai berlepas itu. Aku tinggalkan bumi ini sementara, aku akan kembali lagi selepas ku curahkan kerinduanku di kampung halaman.