Sunday, April 15, 2012

Masa Berlalu Laju

Post terakhir saya di rumah blog saya ini akhir disember tahun lepas. 4 bulan saya tinggalkan rumah saya ini tanpa berita. Siapa saja yang nak menjenguk rumah saya ini. Mungkin mereka yang menari dan menyanyi lagu yang rentaknya semakin canggung. Mungkin banyak yang saya akan muatkan di rumah ini. 4 bulan berlalu, banyak perabot saya belikan. Saya sedang memikirkan, di ruang mana saya akan letakkan. Insyaallah, ada masa saya kongsikan perabot-perabot itu. 

Saya terjumpa resipi ini semasa berziarah di blog
Pn. Salina Ibrahim. Menarik juga resipinya.


Friday, December 30, 2011

Selamat Tahun Baru 2012


Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari qiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari qiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut”. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari qiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”
-Surah al-A'araf ayat 187-

Lets countdown! Saya titipkan ucapan itu untuk teman-teman di rumah facebook saya. Mungkin ramai yang sibuk memikirkan azam baru. Bagi saya, hari-hari perlu azamkan? Sebelum tidur saya selalu azamkan diri untuk bangun subuh sebelum teman-teman bilik sebelah terbangun dari buai tidur. Bangun tidur, saya azamkan untuk ke kelas dengan semangat yang paling "bersemangat". Petangnya saya berazam untuk membelek helaian buku atau tugasan yang semakin menyempitkan masa saya di kampus. (Beberapa hari lagi untuk minggu peperiksaan, saya ada dua lagi tugasan yang belum disiapkan, ah! penyeksaan bukan?) Tapi semuanya akan mendewasakan. Saya tak pernah salahkan mereka. Merekalah insan yang mengajar saya erti kehidupan yang sebenar. Realiti yang perlu ditempuhi dan kadang-kadang ada wajah membenci di sebalik ruang usaha kita. Tahun ini, banyak yang pelajari. Menjadi orang yang memimpin, walaupun saya tahu ada yang memprotes pimpinan saya. Tapi itulah realiti. Dalam setandan pisang, takkan semuanya boleh dimakan. Saya berharap rakan-rakan semua berbahagia menyambut kedatangan tahun baru ini. Dan saya masih tertanya selepas mendengar khutbah di Masjid UKM siang tadi, apakah hari-hari kita yang lepas tahun 2011 ini digunakan sebaiknya? Berapa kali saya membaca al-Quran dan hadis serta mengamal ajarannya yang ditinggalkan oleh Rasulallah s.a.w untuk kita semua? Apakah amal ibadat saya benar-benar ikhlas dan tawaduk untuk Allah s.w.t? Semuanya saya jadikan tanda soal yang memantaskan saya menginsafi hari-hari yang lalu. Semoga tahun baru 2012 dan Hijrah 1433 yang baru kita sambut menjadi satu titik permulaan yang baru untuk kita semua. Selamat tahun baru semuanya!

Daripada Ibn Umar r.a., katanya :  "Rasulullah SAW telah memegang bahuku dan bersabda : ‘ Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau, atau pengembara. ‘ Maka Ibn Umar berkata : “Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi. Dan jika engkau berada di waktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit. Dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati."

Sunday, November 27, 2011

Bahawa Kematian itu Satu Kepastian

Ketika saya mengadap skrin laptop saya yang semakin canggih kerana dapat menyiarkan rancangan TV secara terus, tiba-tiba pandangan mata saya tertumpu pada notification  di sebelah atas kiri ruang facebook saya. Ada berita dukacita dari rakan saya. Adindanya yang tercinta menyambut panggilan Ilahi kerana kemalangan. Segera saya hantarkan salam takziah. Kata rakan saya, dirinya terkejut dengan berita itu. Sedihkan? Tapi itulah kepastian. Bukankah dijanjikan Allah tentang kedatangan kematian itu tidak mengira akan siapa kita. Tapi usia yang muda meninggalkan bumi Tuhan ini amat menginsafkan. Mengapa tidak Tuhan biarkan yang tua pergi terlebih dahulu? Tetapi kekuasaan Allah mengatasi segala. Dialah Tuhan yang selayak-layaknya disembah. Semoga roh adik rakan saya ini tenang dan damai di sana. Saya insafi. Tiap kejadian ada hikmahnya. Mudah-mudahan kita dalam golongan orang-orang yang mendapat redha Allah. InsyaAllah.
Asalnya Kain Jadi Pakaian, Ditiup Angin Jatuh ke Lumpur,
Biar Menangis Dalam Buaian, Jangan Menangis di Dalam Kubur.

Saturday, November 26, 2011

Salam Maal Hijrah

Ketika saya membaca doa akhir tahun, sebak hati saya membaca makna doa. Antaranya: Ya Allah wahai Tuhan kami, perkara-perkara yang telah kami lakukan daripada perbuatan-perbuatan yang Engkau larang dalam tahun ini maka kami belum bertaubat daripadanya padahal Engkau tiada meredhai dan Engkau memang tiada lupakannya (Tuhan tiada bersifat lupa) dan Engkau berlembut tiada mengazabkan kami malam memberi peluang supaya kami bertaubat selepas kami menceburkan diri melakukan maksiat itu. Semoga keampunan milik kita, salam tahun baru Hijrah. Peristiwa Hijrah paling agung apabila Rasulullah s.a.w berhijrah dari kota Makkah ke kota Madinah atas perintah Allah s.w.t. Selamat menghayati penghijrahan suci. 

Hijrah Satu Pengorbanan

Wednesday, November 23, 2011

Sibuk

Hampir sebulan saya tak mencuci ruang rumah saya. Ada debu-debu yang mula menjadi penyeri yang tidak diundang. Kesibukan sebagai mahasiswa kata pensyarah saya. Hampir setiap minggu berprogram, hari ini amat mengujakan. Bertemu Dr. Zurinah Hassan dalam Program Bersama Tokoh Penulis Tanah Air anjuran kami di Kelab Pengajian Melayu. Bila saya melihat tokoh yang menulis puisi-puisi yang saya baca, saya rasa seperti berada dalam dunianya pada masa menulis. Mengujakan!

http://zurinahhassan.blogspot.com/


Monday, October 31, 2011

Harus Kuat

Temukan aku dengan cintaku Ya Allah
Sekuat mana kuat itu? Subjektifkan. Mungkin sekuat badai menghempas pantai. Atau sekuat akar mencengkam tanah. Mungkin juga sekuat guruh membisik bumi. Atau juga sekuat khalifah melontar jamrah. Saya perlu kuat. Lebih kuat dari badai, akar, dan juga guruh. Sekuat khalifah melontar jamrah di Mina. Tapi adakah hatinya sesuci batu-batu kecil yang ada di jalan-jalan menuju jamrah? Tiap kali tasbih berdetik-detik dijarinya, keluar kalam-kalam Tuhan dari bisik suaranya. Tapi cukupkah mengimamkan diri tanpa makmumnya? Terus saya dengari ayat-ayat suci dari juzuk-juzuk Allah. Ya, saya perlu insaf. Mungkin tidak seperti mereka. Mengajar kami tentang kalam Tuhannya, tapi tergelincir mencari Nur di sebalik bukit-bukit itu. Salam Aidiladha, semoga sekuat dan seteguh iman Nabi Ibrahim a.s. dan putera baginda Nabi Ismail a.s.

Monday, October 17, 2011

Mereka Yang Ditewas

Laungan azan yang masuk di ruang-ruang tingkap bilik saya sangat menginsafkan. Tapi, mengingatkan lagu-lagu sumbang dinyanyikan penari sebentar tadi benar-benar menggoncang roh jiwa saya. Tapi saya cuba lepaskan dengan hembusan tasbih suci Ilahi. Owh, mereka ditewaskan bukan? Sekarang, penari-penari mula mencari penari baru. Mengisi ruang-ruang penari yang sudah semakin lewat meninggalkan mereka. Saya? Tak pernah sekali ingin menarikan tarian yang sesekali menjengkilkan. Eh, biarkanlah si penunggu tua. Bukankah memang begitu rentaknya. Menyeru penarinya menarikan rentak kanan, tetapi dirinya tetap menarikan rentak kiri. Eh, biarkanlah!