Salam Ramadhan yang semakin berbaki. Bagai baru semalam menyambut kedatangan Ramadhan, tapi hakikatnya beberapa hari lagi Ramadhan bakal meninggalkan kita. Bulan yang penuh keberkatan belum pasti ditemui semula pada tahun akan datang. Saya menghitung-hitung cukupkah amalan untuk mendapat rahmat, pengampunan dan pelepasan daripada seksa neraka. Saya memohon kepada Allah yang telah mencipta, semoga Ramadhan yang bakal pergi pada tahun ini merupakan Ramadhan terbaik buat saya dan kita semua.
Tuesday, August 14, 2012
Monday, July 23, 2012
Ahlan wasahlan ya Ramadhan
Teman-teman saya semuanya, semoga kedatangan Ramadhan kali ini benar-benar membawa rahmat dan barakah kepada kita semua. Saya dari subuh hingga ke maghirb menghitung berapa dosa yang telah saya lakukan. Sesekali beristifar memohon ampun Allah yang Esa. Masihkah ada lagi ruang pengampunan untuk hambanya yang sering melakukan kekhilafan. "Ya Allah, ku pohon redha dan ampunanmu. Terimalah doa dan taubat kami."
Sunday, June 3, 2012
Benar
Saya bukanlah sesibuk seorang presiden yang tiap masanya dipenuhi jadual-jadual yang penuh pengisian. Juga bukan ahli perniagaan yang telefon tangannya sentiasa berbunyi menanda masuk pesanan-pesanan teman niaga yang mengharapkan untung daripada kerugian. Baru malam yang muda saya berbual bersama ibunda tercinta. Bertanya khabar kampung yang lama ditinggalkan. Benar, suara ibu mengubat duka dan menambah kerinduan saya untuk pulang ke halaman. Mungkin seminggu dua lagi, saya akan pulang ke kampung. Bagai baru semalam saya membungkus baju-baju untuk dibawa ke sini. Realitinya, 3 tahun sudah saya mencari ilmu di sini. Dan bagai tidak percaya, gagang telefon yang letakkan kembali di sisi kanan meja berbunyi kala malam mendekatkan dirinya kepada siang. Namun embun belum berdetik lagi. Ayahanda saudara saya tercinta pergi buat selamanya. Benar, bagai baru semalam saya duduk semeja menjamah cucur buatan nenda yang juga telah lama pergi. "Oh Tuhan yang menciptakan, Benarlah janji-Mu tidak pernah menunggu saat semua bertemu. Kerana semuanya atas rahmat dan redha-Mu." Semalaman saya tidak tidur. Banyak kisah-kisah kembali bermain di fikiran saya. Kerja mengedit saya hentikan dan saya gantikan dengan bacaan ayat-ayat Quran yang menenangkan. Sekali dua alunan ayat suci berhenti, saya wudhukkan diri penuh tawaduk. Membaca Yassin dan tahlil tanda sedekah saya dari jauh. Rasa mahu saja saya terbangkan diri ke kampung. Tapi sesungguhnya semuanya telah tertulis. Dan ianya Benar. Tiada yang dapat mempercepatkan barang sesaat, mahupun melambatkannya. Saya mohon pada Allah yang Maha Pengasih dan Pengampun, amankanlah dia di sana bersama para solehin.
Thursday, May 24, 2012
yang ke-23
16 Mei lalu, saya menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-23. Ramai yang kata umur itu hanya angka. Tapi bagi saya, angkalah yang menentukan segalanya. Berapa banyak amalan dan kesalahan yang saya lakukan sepanjang saya diberikan kesempatan. Berapa kali saya mengucap syukur pada Tuhan yang meminjamkan saya setiap nikmat dan tidak pernah meminta kembali. Berapa kali saya sujud dengan air mata kasih pada Tuhan yang memberikan kesenangan dan tidak pernah mengungkit pemberiannya. Dan berapa kali saya bertasbih memujiNya sedangkan kasih Rahman dan RahimNya tidak pernah putus untuk hambaNya ini. Saya bersyukur atas nikmat Mu Ya Allah. Seperti mesej pensyarah saya Tiada kesyukuran yang lebih besar selain dilahirkan sebagai Muslim, apalagi muslim yang membuat kebajikan pada yang lain.
| Terima Kasih sahabat-sahabat yang mengucapkan Selamat |
Sunday, April 15, 2012
Masa Berlalu Laju
Post terakhir saya di rumah blog saya ini akhir disember tahun lepas. 4 bulan saya tinggalkan rumah saya ini tanpa berita. Siapa saja yang nak menjenguk rumah saya ini. Mungkin mereka yang menari dan menyanyi lagu yang rentaknya semakin canggung. Mungkin banyak yang saya akan muatkan di rumah ini. 4 bulan berlalu, banyak perabot saya belikan. Saya sedang memikirkan, di ruang mana saya akan letakkan. Insyaallah, ada masa saya kongsikan perabot-perabot itu.
| Saya terjumpa resipi ini semasa berziarah di blog Pn. Salina Ibrahim. Menarik juga resipinya. |
Friday, December 30, 2011
Selamat Tahun Baru 2012
Lets countdown! Saya titipkan ucapan itu untuk teman-teman di rumah facebook saya. Mungkin ramai yang sibuk memikirkan azam baru. Bagi saya, hari-hari perlu azamkan? Sebelum tidur saya selalu azamkan diri untuk bangun subuh sebelum teman-teman bilik sebelah terbangun dari buai tidur. Bangun tidur, saya azamkan untuk ke kelas dengan semangat yang paling "bersemangat". Petangnya saya berazam untuk membelek helaian buku atau tugasan yang semakin menyempitkan masa saya di kampus. (Beberapa hari lagi untuk minggu peperiksaan, saya ada dua lagi tugasan yang belum disiapkan, ah! penyeksaan bukan?) Tapi semuanya akan mendewasakan. Saya tak pernah salahkan mereka. Merekalah insan yang mengajar saya erti kehidupan yang sebenar. Realiti yang perlu ditempuhi dan kadang-kadang ada wajah membenci di sebalik ruang usaha kita. Tahun ini, banyak yang pelajari. Menjadi orang yang memimpin, walaupun saya tahu ada yang memprotes pimpinan saya. Tapi itulah realiti. Dalam setandan pisang, takkan semuanya boleh dimakan. Saya berharap rakan-rakan semua berbahagia menyambut kedatangan tahun baru ini. Dan saya masih tertanya selepas mendengar khutbah di Masjid UKM siang tadi, apakah hari-hari kita yang lepas tahun 2011 ini digunakan sebaiknya? Berapa kali saya membaca al-Quran dan hadis serta mengamal ajarannya yang ditinggalkan oleh Rasulallah s.a.w untuk kita semua? Apakah amal ibadat saya benar-benar ikhlas dan tawaduk untuk Allah s.w.t? Semuanya saya jadikan tanda soal yang memantaskan saya menginsafi hari-hari yang lalu. Semoga tahun baru 2012 dan Hijrah 1433 yang baru kita sambut menjadi satu titik permulaan yang baru untuk kita semua. Selamat tahun baru semuanya!
Daripada Ibn Umar r.a., katanya : "Rasulullah SAW telah memegang bahuku dan bersabda : ‘ Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau, atau pengembara. ‘ Maka Ibn Umar berkata : “Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi. Dan jika engkau berada di waktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit. Dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati."
Sunday, November 27, 2011
Bahawa Kematian itu Satu Kepastian
Ketika saya mengadap skrin laptop saya yang semakin canggih kerana dapat menyiarkan rancangan TV secara terus, tiba-tiba pandangan mata saya tertumpu pada notification di sebelah atas kiri ruang facebook saya. Ada berita dukacita dari rakan saya. Adindanya yang tercinta menyambut panggilan Ilahi kerana kemalangan. Segera saya hantarkan salam takziah. Kata rakan saya, dirinya terkejut dengan berita itu. Sedihkan? Tapi itulah kepastian. Bukankah dijanjikan Allah tentang kedatangan kematian itu tidak mengira akan siapa kita. Tapi usia yang muda meninggalkan bumi Tuhan ini amat menginsafkan. Mengapa tidak Tuhan biarkan yang tua pergi terlebih dahulu? Tetapi kekuasaan Allah mengatasi segala. Dialah Tuhan yang selayak-layaknya disembah. Semoga roh adik rakan saya ini tenang dan damai di sana. Saya insafi. Tiap kejadian ada hikmahnya. Mudah-mudahan kita dalam golongan orang-orang yang mendapat redha Allah. InsyaAllah.
![]() |
| Asalnya Kain Jadi Pakaian, Ditiup Angin Jatuh ke Lumpur, Biar Menangis Dalam Buaian, Jangan Menangis di Dalam Kubur. |
Subscribe to:
Posts (Atom)

