Saturday, November 26, 2011

Salam Maal Hijrah

Ketika saya membaca doa akhir tahun, sebak hati saya membaca makna doa. Antaranya: Ya Allah wahai Tuhan kami, perkara-perkara yang telah kami lakukan daripada perbuatan-perbuatan yang Engkau larang dalam tahun ini maka kami belum bertaubat daripadanya padahal Engkau tiada meredhai dan Engkau memang tiada lupakannya (Tuhan tiada bersifat lupa) dan Engkau berlembut tiada mengazabkan kami malam memberi peluang supaya kami bertaubat selepas kami menceburkan diri melakukan maksiat itu. Semoga keampunan milik kita, salam tahun baru Hijrah. Peristiwa Hijrah paling agung apabila Rasulullah s.a.w berhijrah dari kota Makkah ke kota Madinah atas perintah Allah s.w.t. Selamat menghayati penghijrahan suci. 

Hijrah Satu Pengorbanan

Wednesday, November 23, 2011

Sibuk

Hampir sebulan saya tak mencuci ruang rumah saya. Ada debu-debu yang mula menjadi penyeri yang tidak diundang. Kesibukan sebagai mahasiswa kata pensyarah saya. Hampir setiap minggu berprogram, hari ini amat mengujakan. Bertemu Dr. Zurinah Hassan dalam Program Bersama Tokoh Penulis Tanah Air anjuran kami di Kelab Pengajian Melayu. Bila saya melihat tokoh yang menulis puisi-puisi yang saya baca, saya rasa seperti berada dalam dunianya pada masa menulis. Mengujakan!

http://zurinahhassan.blogspot.com/


Monday, October 31, 2011

Harus Kuat

Temukan aku dengan cintaku Ya Allah
Sekuat mana kuat itu? Subjektifkan. Mungkin sekuat badai menghempas pantai. Atau sekuat akar mencengkam tanah. Mungkin juga sekuat guruh membisik bumi. Atau juga sekuat khalifah melontar jamrah. Saya perlu kuat. Lebih kuat dari badai, akar, dan juga guruh. Sekuat khalifah melontar jamrah di Mina. Tapi adakah hatinya sesuci batu-batu kecil yang ada di jalan-jalan menuju jamrah? Tiap kali tasbih berdetik-detik dijarinya, keluar kalam-kalam Tuhan dari bisik suaranya. Tapi cukupkah mengimamkan diri tanpa makmumnya? Terus saya dengari ayat-ayat suci dari juzuk-juzuk Allah. Ya, saya perlu insaf. Mungkin tidak seperti mereka. Mengajar kami tentang kalam Tuhannya, tapi tergelincir mencari Nur di sebalik bukit-bukit itu. Salam Aidiladha, semoga sekuat dan seteguh iman Nabi Ibrahim a.s. dan putera baginda Nabi Ismail a.s.

Monday, October 17, 2011

Mereka Yang Ditewas

Laungan azan yang masuk di ruang-ruang tingkap bilik saya sangat menginsafkan. Tapi, mengingatkan lagu-lagu sumbang dinyanyikan penari sebentar tadi benar-benar menggoncang roh jiwa saya. Tapi saya cuba lepaskan dengan hembusan tasbih suci Ilahi. Owh, mereka ditewaskan bukan? Sekarang, penari-penari mula mencari penari baru. Mengisi ruang-ruang penari yang sudah semakin lewat meninggalkan mereka. Saya? Tak pernah sekali ingin menarikan tarian yang sesekali menjengkilkan. Eh, biarkanlah si penunggu tua. Bukankah memang begitu rentaknya. Menyeru penarinya menarikan rentak kanan, tetapi dirinya tetap menarikan rentak kiri. Eh, biarkanlah!

Friday, September 30, 2011

Jangan Bunuh Penunggu Tua

Kadang-kadang saya memikirkan mereka. Masih bermain seloka lama. Tarinya masih lenggok sama. Lagunya masih disenandungkan mereka. Saya tidak mahu memikirkan mereka. Terutama si penunggu tua. Tapi apa yang pernah mereka lakukan pada saya, tidak pernah akan saya padamkan dari buku hidup saya. Hari ini si penunggu tua masih berbicara tentang saya. Saya tidak punya ilmu tinggi untuk mengetahui tiap kata dan langkah. Tapi saya punya lapis kedua yang memaksa saya meneka. Saya lihat tari si penunggu tua masih sama. Pernah dia katakan tari, lagu dan main saya semakin dibenci orang. Tapi hari ini, saya diberitahu beberapa pemain lain, mereka sudah jemu dengan rentak dan irama penunggu tua. Kenapa rentaknya masih sama. Tidak mahukah mereka mengubah rentak itu? Saya pernah berbicara bersama penunggu tua. Dia kata bukan dia punca rentak tari itu masih lama, tapi rentak saya bukan inang untuk mereka. Terus saya carikan guru-guru irama baru. Mereka ciptakan satu rentak baru untuk saya. Saya mula belajar rentak baru. Penuh santun dan budi. Tapi penunggu tua tetap mencabar saya. Saya tidak pernah rugi pada rentak tarinya yang semakin nampak silap tarinya. Saya biarkan mereka seperti membiarkan Si Luncai yang bersama labunya. Biarkan, biarkan, biarkan. Lagu itu mereka masih nyanyikan. Rentak itu masih mereka tarikan. Tapi mereka lebih tahu akan dosa rentak-rentak itu. Bukan saya yang menjatuhkan hukum. Tetapi si penunggu tua yang menuliskan tentang hukum-hukum Tuhan dalam helai-helai kitabnya. Biarkan dia pemain-pemain rentak baru. Yang bersamanya tetap dengan lagu lama. Kita siulkan irama-irama baru. Walau ada masanya siul kita itu tenggelam dek hentak langkah yang sumbang, tapi kita tetap punya rentak nan sama. Kita selalu membaca apa yang telah ditulis, tapi pernahkah kita menulis semula apa yang telah kita baca? Oh si penunggu tua.
Maafkan saja tarinya

Sunday, September 25, 2011

Salam Penghujung Syawal

Kesibukan lebaran dan persiapan menjelang kuliah yang baru melambatkan saya mengisi ruang-ruang kosong dalam blog saya ini. Keseronokan Aidilfitri yang pasti, telah saya isi dengan bertemu sanak saudara dan teman-teman. Sepanjang masa, ada kunjungan diterima. Berbual dan bertanya khabar. Kuliah yang akan bermula seminggu selepas lebaran memaksa saya untuk mempersiapkan diri dengan lebih cepat. Baju dan keperluan saya susun dengan rapi pada ruang beg yang kecil ruangnya. Yang pasti, baru sahaja 2 minggu kuliah bermula kesibukan semakin menghimpit. Pelbagai program berlangsung dan ia akan menjadi kenangan dan cabaran terindah. InsyaAllah.

Demi Masa

Saturday, September 3, 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Salam semuanya. Salam Lebaran Aidilfitri, maaf zahir dan batin buat teman-teman semua. Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan untuk umat Islam yang telah berusaha untuk mempertahankan diri dari segala perkara yang boleh membatalkan puasanya pada bulan Ramadhan. Aidilfitri sendiri memberi pengertian kembali kepada fitrah. Fitrah merupakan asal. Pada saya, asal yang ialah sesuatu yang masih baru dan belum pernah diubah. Seperti bayi yang baru lahir. Juga seperti kain putih yang belum dicorakkan. Namun kadang-kadang kita berlebihan dari sifat fitrah diri kita dalam menyambut lebaran. Perhiasan yang begitu mewah. Makanan yang begitu banyak. Pakaian yang cukup indah. Memungkinkan diri kita terjerumus dalam perkara yang dilarang dalam agama sendiri. Cukuplah sekadar bersederhana. Mengutamakan yang wajib, melakukan yang sunat dan yang harus, menghindar yang makhruh dan meninggalkan yang haram. Tetapi mungkin ada yang mengatakan Lebaran ini setahun sekali. Benar, sambutannya hanya setahun sekali. Namun konsep Hari Raya yang ialah apabila seseorang itu terhindar dari melakukan segala hal yang dilarang oleh agamanya. Oleh itu, Hari Raya akan disambut apabila tibanya Aidilfitri, Aidiladha dan apabila seseorang itu berjaya menghindarkan sesuatu perkara yang mendatangkan dosa pada dirinya dalam satu hari yang ada. Semoga Aidilfitri tahun ini memberi sinar baru buat kita seluruh umat Islam. Kerana Aidilfitri ini milik hamba-hamba Allah yang telah melaksanakan kewajipan yang dituntut ke atas diri kita.