Sunday, July 31, 2011

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Alhamdulilah, sekali lagi diberikan kesempatan oleh Ilahi untuk berada dalam bulan yang penuh dengan keberkatan. Setiap amalan digandakan pahalanya. Istimewanya melebihi bulan-bulan lain yang ada. Azan maghrib tadi benar-benar menginsafkan saya. Terasa kelainan sekali. Saya harapkan ini bukan Ramadhan terakhir buat saya dan mereka. Tahun ini Ramadhan sedikit berbeza bagi saya. Walaupun kemeriahannya tetap sama seperti dulu. Pemergian buat selamanya nenda tercinta baru-baru ini begitu mengejutkan saya. Tapi tetap redha atas kehendakNya, kerana kita hamba pinjaman untuk sementara. Yang pasti, saya sempat menunaikan solat sunat Tarawikh di surau kampung saya tadi. 2 tahun saya kehausan untuk Tarawikh di halaman kampung sendiri. Bersama rakan-rakan sekampung yang sama bermain, sempat juga bertanyakan khabar dan pasti ada yang sudah berkeluarga. Kesempatan bertadarus sangat menyentuh hati saya. Teringat akan pertama kali Tadarus, semuanya masih kecil-kecil. Mampukah saya ulang semula kenangan itu atau hanya akan tersimpan dalam lipatan ingatan saya. Terima kasih Ramadhan yang telah mengembalikan ingatan saya semula bersama mereka. Saya teringat akan Khairil anak kecil di PERYATIM. Semoga Ramadhan yang penuh keberkatan ini menemukan saya dan dia. Salam Ramadhan semuanya!

Terima Kasih Yana, Poster yang Indah!

Friday, July 22, 2011

OPKIM&KAK 2011

Bermula dengan kertas kerja seawal bulan Mei 2011, saya dan rakan di PEMASRA menggerakkan jentera untuk memulakan langkah persediaan menuju Julai yang akan menjadi program pertama PEMASRA bersama ahli jawatankuasa yang baru. Bagai baru semalam saya bersama rakan duduk semeja berbincang mengenai perjalanan program. Hakikatnya sudah berlabuh tirai OPKIM pada kali ini. Saya menyedari akan pelbagai rintangan dan cabaran yang perlu ditempuh untuk memastikan kelancaran program ini. Namun, pelbagai masalah yang timbul, sedaya upaya saya dan rakan urusetia mahupun peserta program ini lakukan sebaiknya bagi mengatasi permasalahan yang ada. Kamilah keluarga baru. Membina harapan untuk anak bangsa Sarawak sendiri. Menabur budi bukan untuk disanjung setinggi-tingginya. Tapi kami inginkan sinar harapan untuk anak bangsa ini. Semoga kami dan mereka dirahmati olehNya, InsyaAllah. Terima kasih atas segalanya.

           
Kalau Tuan Mandi Perigi
          Hati-hati Dipatuk Sawa,
Kalau Ada Rezeki Lagi,
          Sama BerOPKIM Di Siri Kedua.


Kenangan Bersama Rakan Peserta

Semoga Kenangan Terus Tersimpan

Bersama Rakan Urusetia
(Jeaniel Tiada Dalam Gambar)

Tinggalkan Kami, Bukan Kenangannya

Terima Kasih Semua
          

Thursday, June 23, 2011

Tuesday, June 21, 2011

Roda

Hidup umpama roda. Adakala kita di atas. Selalunya kita di bawah. Kadang-kadang kita terlupa yang kita bercakap besar. Ya, mungkin saya sendiri.  Egokan diri saya memungkinkan hal itu. Lantas saya jadikan ianya pengalaman. Pengalaman yang akan mendewasakan. Mungkin saudara sendiri. Beribu mungkin budi dan bakti diberikan. Sehari dua teman-teman menghargainya. Walaupun ada masanya mereka menyebut bait pantun Melayu, Pisang emas bawa berlayar, Masak sebiji di dalam peti, Hutang emas boleh ku bayar, Hutang budi dibawa mati. Tetapi, sekali saudara dan mungkin saya melakukan kesilapan terus mereka melupakan budi yang ada. Mengingati akan kesilapan yang dilakukan dan terus menjadi kisah teladan. Ya, kisah teladan untuk sempadan. Bagaimana kisah budi yang lalunya menjadi bualan seketika mereka? Terus mereka lupakan. Tiada lagi kenangan. Buat saya dan saudara semua, kita jadikan pepatah Melayu ini untuk lebih berhati-hati menabur bakti, Buat baik berpada-pada Buat jahat jangan sekali.  Mungkin saudara selalu mendengar dan adakalanya terlalu biasa dan old school bait kata pepatah ini. Tetapi bagi saya, dalam pepatah ini, terselit banyak maknanya. Antara yang saya sendiri fahami, berbuat baik hendaklah berhati-hati kerana mungkin ada yang akan mengata tentang kebaikan yang kita lakukan membuatkan mereka rasa tidak selesa dan iri hati. Dan berbuat jahat jangan sekali mungkin seperti yang saya karangkan pada awal tadi tentang begitu sekejapnya budi yang ditaburkan dilupakan dan kesilapan yang akan dikenangkan. Inilah dunia. Penuh pancaroba. Semoga saya dan saudara tabah menghadapi dugaan dari Allah s.w.t yang pastinya punya hikmah yang istimewa. 

Tuesday, May 31, 2011

Selamat Hari Gawai

1 Jun pada setiap tahun merupakan hari sambutan Gawai bagi masyarakat Dayak di Sarawak yang merupakan Bumiputera Sarawak. Sambutan ini diadakan bagi meraikan kejayaan mereka selepas selesai musim menuai. Di Sarawak pada hari ini, semua masyarakat yang akan meraikan sambutan ini akan pulang ke kampung halaman seperti perayaan yang lain. Kesempatan bercuti digunakan untuk meraikan sambutan ini dan bertemu dengan keluarga dan kenalan yang lama ditinggalkan. Kepada rakan-rakan saya yang meraikan sambutan ini, Selamat Hari Gawai Gayu Guru Gerai Nyamai Lantang Senang!

Dari saya dan rakan-rakan PEMASRA

Sunday, May 22, 2011

Selamat datang Ke KFC

Saya dan teman-teman di tempat kerja
Kata orang, senyuman penawar duka. Tapi kadangkala, senyuman tak seindah biasa. Seperti saya ada kadangnya, senyuman diukir bukan kerana saya suka. Ada plastik di sebalik semuanya. Saya sendiri dapat rasakan. Senyumaan yang saya berikan itu, benar atau palsu. Arau juga selalunya memang palsu. Tapi saya sendiri menyedari, ada kalanya kepalsuan itu penting. Kerana ianya mampu melonjakkan kita, dari satu posisi yang cukup rendah kepada satu posisi yang cukup menyenangkan. Mungkin hanya duduk di hadapan komputer yang canggih ataupun hanya dapat menekan papan kekunci pada bahagian note pad. Saya juga tidak dapat memastikan, berapa lama saya dan mereka akan berada di situ. Mungkin indah hanya seketika. Indah bersama teman-teman yang menceriakan. Oh, makan di sini. Terima kasih dan datang lagi! (Teruskan senyuman walaupun palsu?)

Wednesday, May 18, 2011

16 Mei 2011

age is just a number
Saya tinggalkan blog saya seminggu ini tanpa sebarang hidangan untuk para tetamu yang berkunjung. Maaf ya semuanya. Ulangtahun kelahiran saya datang lagi. Terima kasih teman-teman di kamar facebook yang mengunjungi dan meninggalkan ingatan tulus kelahiran saya yang ke 22. Bila saya teringatkan akan usia saya yang semakin beransur bertambah angka, sedar saya bahawa semakin singkat perjalanan yang saya ada. Kadang saya teringat akan kisah-kisah lalu, membawa saya ke alam sedar yang saya pernah mencoret luka-luka pada kertas amalan saya. Mudahan saya diberi peluang oleh Pencipta yang berkuasa, menebus tiap-tiap dosa yang belum pernah saya fikirkan untuk habis saya tebuskan. Doakan saya untuk syurgaNya. Mudahan ada ruang untuk saya dan saudara bersama mereka yang mulia di sana kelak. Amin.