Thursday, October 28, 2010

Rimbunan Ribut

Datangnya tiada jemputan, pulangnya tiada
siapa menghantar.
"Ombak datang!" Jerit kuat seorang lelaki yang begitu dekat dengan gigi pantai yang tidak setenang tadi. Senyuman dan lambaian mesra pantai tidak lagi berseri. Aku terlekat di tengah-tengah taufan manusia yang berlari menyelamatkan diri dipukul ombak yang datang. Ombak yang semakin tinggi dan melompat jauh dari sempadan yang telah digariskan. Sekali. Dua kali. Aku masih lagi mampu berdiri tanpa bergerak sedikit. Kuasa apakah yang merasuk diriku. Jin laut? Aku bertanya pada diriku yang seolah-olah sudah dibius pelali. Hanya berdiri walaupun bencana menggila dihadapanku. Lari-lari. Ayat perintah itu hampir ratusan kali aku dengar sepanjang berdiri di sini. Angin dari arah selatan bertiup kencang. Tadi tidak sekuat ini. Tadi anginnya hanya mampu menguraikan sehelai dua rambutku. Kali ini tidak. Pokok kelapa di yang hampir seratus tahun usianya seakan tercabut. "Makkkkkk!!!" Suara memanggil-manggil akan ibu kedengaran. Tangisan tiada lagi tandingan di pantai ini. Itu sahaja melodi yang menjadi alunan bersama hempasan ombak dan tiupan angin yang sakitnya tidak ada ubat.
* * *
Ombak itu sudah senyap menghempas pantai. Tiada lagi kedengaran anak-anak kecil memanggil ibunya. Angin sudah pulang ke puncanya. Jin laut tadi sudah puas melepaskan amarahnya. Tinggal aku di tengah pantai ini. Saksi kejadian yang meragut. Meragut ribuan nyawa menceraikan kasih. Dan mendatangkan derita pastinya. Semua bertaburan. Pokok yang tadinya berdiri sombong meninggi kini menyembah bumi. Pasir-pasir yang mampat kadang-kadang jerlus lembut menarik kaki basah keras bercampur hidupan laut yang sesat. Anak kecil tadi tidak sempat memeluk ibunya yang jauh bergelimpang memeluk pasir yang bukan kasihnya dulu. Aku. Mengapa masih di sini. Mengapa tidak aku hulurkan simpati pada mereka. Megapa aku tidak berganjak. Mereka memerlukan aku. Kemana perginya kasih sesama insanku. Mengapa tidakku sambut tangan-tangan yang melambai simpati. Aku ingin menggerakkan kakiku yang dari tadi tidak mahu berpisah dengan tanahnya. Masih kaku. Aku mencuba lagi. Gagal. Aku menoleh. Seiras aku. Terdampar. Baju biru itu. Sama dengan bajuku. Matanya sebulat mataku. Mengapa tidak bergerak. Adakah panggilan itu telahku sahut?

Wednesday, October 27, 2010

Sesat

Cinta mungkin sesegar epal
merah ini.
Jauh sekali lamunanku beriringan dengan lagu-lagu Inggeris yang tidak putus-putus dimainkan oleh pemilik kedai ini. Roti berbawang putih yang dibeli sebentar tadi sudah separuh dihadam di dalam perutku yang meronta mahu diisi. Sakit sungguh menanti. Dia yang berjanji untuk sampai seawal jam 9 pagi masih belum ada sehingga hatiku berkocak untuk mencari pemandangan lain. Sesekali mata mencuri setiap roh yang bersama jasad melintas dan mencapai pandangan. Ayu sekali. Tudung berwarna ungu dipadankan dengan baju kuning yang berbunga ungu lebih muda warna daripada tudungnya. Setiap langkahnya seolah-olah menepuk hatiku yang tadinya berkecamuk. Seperti zaman Melayu lama, seorang raja duduk di bawah rimbunan pokok menyamar menjadi rakyat biasa. Terus si Bawang Merah melintas menampakkan kulitnya yang cerah dan halus. Aku bukan raja yang memaksa untuk dicinta. Aku mahu menjadi hamba yang punya cinta datang dari terusan jiwa yang penuh dengan bekalan makna rasa. Oh, si ayu itu menjeling ke arah  aku. Mungkin perasan akan panahan mataku tadi. Segera aku mengalih arah mataku ke satu sudut lain. Sebuah lukisan yang begitu ringkas. Sebiji epal di tengah-tengah lingkaran bakul yang melilit. Aku merenung tajam pada lukisan itu. Seperti epal itu akan jatuh bila-bila masa. Dia menepuk belakangku berkali-kali. "Maaf wan, terlelap." Satu senyuman yang tidak berapa sempurna aku berikan. "Ini tugasannya." Aku menyambut. "Aku harus pergi sekarang, ada urusan lain." Mataku memandang dia yang seperti baru sahaja sampai ke tempat ini. Dia mengangguk. "Aku pun sama." Aku mengambil begku yang berisi segala benda penting. Tiba-tiba aku teringat akan si ayu tadi. Aku mencari dalam kegilaan manusia yang lalu di hadapanku. Tiada. Mungkin belum masanya untuk bersapa. Aku melangkah. Tetapi hatiku seolah-olah telah pergi bersama si ayu tadi.

Saturday, October 23, 2010

Kemusnahan

Mengapakah tiada ruang untuk anak-anak ini terus
mengukir senyuman di muka bumi?
Tidak siapa pernah menduga, sebuah tanah yang dahulunya menyimpan senyum tawa kanak-kanak kecil bersama gurauan keluarga musnah begitu sahaja. Tanah Palestin yang telah dicabuli lebih 50 tahun telah menjadi kesengsaraan dan derita buat mereka yang berada di tanahnya. Tangisan dan rintihan tiada henti mengenang nasib yang terpaksa ditelan. Tiada lagi gelak dan tawa, hilang sudah makna bahagia apabila melihat tanah coklat bercampur titik-titik darah yang tidak berdosa. Siapa sanggup melihat anak-anak kecil bergelimpangan bersama ibunya syahid di tanah itu. Siapa sanggup mendengar bunyi tembakan berdas-das tidak pernah jemu mencari mangsanya. Siapa sanggup mencium bau-bau darah yang terpercik pada kain-kain syuhada. Siapa sanggup melangkah ke tanah yang becak dengan air mata tangisan anak-anak yang kehilangan tempat bermanja. Siapa sanggup menyentuh badan-badan layu yang sudah tidak bernyawa. Siapa? Hanya mereka yang sanggup. Musuh-musuh yang tidak pernah henti mengganggu mereka. Tidak pernah melihat masa berubah menukar warna langit. Memikirkan tentang kebahagiaan orang yang mereka musnahkan. Apakah kanak-kanak itu akan menari semula setelah lagu-lagu kedamaian dimatikan. Apakah wanita-wanita itu akan mengukir senyuman semula setelah api dapur-dapur mereka dipadamkan. Apakah pemuda-pemuda itu berlari semula setelah padang mereka dibakarkan. Apakah lelaki-lelaki itu akan ke kebun semula setelah bajanya dihapuskan. Apakah warga tua itu kembali ke tempat tidurnya dengan tenang tanpa derita. Semuanya derita kemusnahan di tanah suci Palestin.

Tuesday, October 19, 2010

Majlis Diskusi Novel

Hari ini saya diberi kesempatan menjadi moderator untuk Majlis Diskusi Novel minggu ke-9. Novel Lentera Mustika menjadi tajuk pembentangan panel pada hari ini. Perasaan teruja dan gembira kerana dapat bersama-sama dengan penulis novel ini. Mungkin salah satu keistimewaan moderator ialah dapat mendekati individu dengan lebih dekat. Bercakap dan bertanya apa sahaja soalan, mungkin satu lagi  keistimewaan yang ada. Selepas selesai panel membentang hasil kerja mereka, saya menjemput Puan Nisah Haron untuk berkongsi pendapat dan pengalaman beliau. Satu pesanan yang ringkas tentang menulis yang disampaikan oleh Puan Nisah tengah hari tadi mungkin akan saya pahatkan benar-benar di fikiran saya. Mudah dan jelas sahaja mesejnya, iaitu "sikit-sikit, sungguh-sungguh dan selalu". Konsep "3S" yang dikongsikan oleh Puan Nisah. Banyak yang dikongsikan oleh Puan Nisah dan pastinya memberikan satu lagi inspirasi baru kepada kami semua. Juga satu infomasi yang disampaikan oleh Puan Nisah yang akan saya ingat. Hari ini, genaplah 7 tahun pemergian Allahyarham Othman Puteh. Semoga rohnya tenang di sana. Al-Fatihah.

Thursday, October 14, 2010

Anwar Ridhwan

Sebaik sahaja Dato' Dr. Anwar Ridhwan
melangkahkan kaki di bumi UKM, terus
saya rakamkan gambar bersama beliau.
Seperti dalam mimpi. Ini bukan mimpi yang belum pasti, tetapi mimpi yang benar-benar pasti. Pagi tadi sekitar jam 9 pagi, saya diberi kesempatan untuk menyambut kedatangan Dato' Dr. Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara ke-10 sempena Majlis Bicara Karya Sastera. Seawal jam 8:30 pagi, saya dan rakan saya sudah menunggu ketibaan Sasterawan Negara ini. Hati saya berdebar-debar. Seorang tokoh besar yang begitu luas pengalaman dalam dunia sastera ini akan saya temui secara langsung di depan mata saya sendiri. Hampir 15 minit menunggu, saya mengecam nombor pendaftaran kereta yang telah saya sedia maklum. Sebaik sahaja Dato' Dr. Anwar Ridhwan melangkah kakinya keluar dari kereta, saya mendahului rakan saya menyambutnya. Saya ingin menjadi orang pertama di UKM untuk melihat wajahnya pada pagi itu. Saya teruja seketika. Wajahnya persis seperti yang terdapat dalam majalah Dewan Sastera yang pernah saya dapatkan daripada pensyarah saya iaitu Prof. Madya Dr. Mawar Shafei. Saya menyapa Dato' Dr. Anwar Ridhwan dengan penuh berhati-hati. Wajah beliau yang mashyur itu memberikan senyuman kepada saya dan rakan yang setia menunggunya. Kata-kata sapaan beliau begitu manis dan lembut sekali. Saya terpesona. Pengalaman Sasterawan Negara ini yang telah dikongsikan akan saya jadikan panduan kepada diri saya untuk lebih maju dan cemerlang dalam mempelajari ilmu sastera yang begitu indah ini.

Tuesday, October 12, 2010

Selera Warisan

Ramadan tahun ini, saya hanya sempat menjamah bubur
pedas sekali sahaja kerana saya sampai di kampung
halaman pada penghujung Ramadan.
Belum cuba belum tahu. Mungkin itu ungkapan paling sesuai untuk saya ketika menghadiri Jamuan Aidilfitri anjuran Program Persuratan Melayu baru-baru ini. Lontong. Pertama kali saya gambarkan makanan yang dipenuhi dengan sotong. Rupanya gambaran saya meleset jauh. Lontong makanan istimewa bagi negeri di bahagian selatan Semenanjung Malaysia pada sambutan Aidilfitri dan mungkin pada hari-hari biasa. Kali pertama saya mencuba makanan ini, jiwa saya terus membawa saya mengenang kampung halaman. Bagi saya, rasa lontong ini begitu persis dengan rasa bubur pedas, makanan bermusim bagi masyarakat Melayu di Sarawak. Bubur pedas ini hanya boleh diperolehi pada bulan Ramadan sahaja dan tidak pernah lagi saya menikmati juadah ini pada bulan lain selain Ramadan. Bubur pedas merupakan hasil daripada 'bumbu pedas' iaitu serbuk untuk menghasilkan bubur pedas. Saya pernah membantu arwah nenek saya menyiapkan ramuan untuk 'bumbu pedas' ini. Sukar sekali. Beras dan pelbagai jenis rempah akan dijemur, kemudian dibakar di atas api yang kecil sebelum ianya dikisar halus. Bubur pedas ini bukan sahaja menyelerakan, tetapi bagi saya ada falsafah di sebaliknya. Penyediaannya yang rumit membawa falsafah sabar. Ramuannya yang pelbagai mungkin membawa falsafah kreatif masyarakat pemiliknya. Tapi yang pasti bubur pedas ini hanya boleh didapati pada bulan Ramadan sahaja, kerana mungkin bubur pedas identiti masyarakat Islam di Sarawak pada sambutan Ramadan seperti juga negeri lain yang mempunyai menu bubur iaitu bubur lambuk dan sebagainya.

Wednesday, October 6, 2010

Teluk Belanga

Gambar lama baju Melayu, saya dapatkan daripada
salah satu laman.

Teluk Belanga merupakan sebuah tempat peranginan yang indah di Pulau Pangkor. Keindahannya mungkin sama dengan baju Teluk Belanga yang merupakan baju Melayu yang tradisional asalnya tetapi masih menjadi pilihan di zaman moden. Teluk Belanga yang menjadi salah satu pilihan di lebaran sama ada Aidilfitri mahupun Aidiladha, akan mendapat sambutan lebih hangat dan pastinya tukang jahit daripada tahap profesional sehinggalah tukang jahit di kampung tidak menang tangan melayan pelanggan yang kunjung tiba. Di Sarawak, masyarakat Melayunya turut menjadikan baju Melayu ini sebagai satu persalinan yang perlu dimiliki. Sepasang mungkin tidak cukup kerana di Sarawak, lelaki mahupun perempuan akan mengenakan baju Melayu dan baju kurung sehingga Aidilfitri hari ke tujuh. Berbeza sekali dengan sambutan di beberapa buah negeri lain di Malaysia, pemakaian baju Melayu ini hanya untuk beberapa hari sahaja. Tidak hairan jika mereka yang bukan berasal daripada Sarawak melihat masyarakat di Sarawak mengenakan baju Melayu walaupun pada Aidilfitri hari ke tujuh dan lengkap dengan sampin dan songkoknya. Baru-baru ini saya sempat berkunjung ke majlis Aidilfitri anjuran kolej dan beberapa rumah kenalan, memang benar. Hanya beberapa orang sahaja yang mengenakan pakaian lengkap baju Melayu. Mungkin baju Melayu ini hanyalah pakaian bermusim. Penggunaannya pada hari-hari biasa mungkin janggal, tetapi bukankah kita pemiliknya? Saya terjumpa sebuah blog yang agak menarik. Sulam cabut yang terdapat pada baju Melayu Sarawak. Klik di sini.

Saturday, October 2, 2010

Berapa Nilainya?

Gambar kenang-kenangan kami semasa berada di Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
Baru-baru ini saya dan rombongan Persuratan Melayu ke Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Kami menyaksikan Pertandingan Peringkat Separuh Akhir Akademi Sastera. Perjalanan pagi itu cukup sesak, jalan raya tiada ruang langsung untuk bas yang mampu memuatkan lebih 40 orang di dalam perutnya itu membelah laluan. Mulanya perjalanan cukup indah. Ada saja gelak dan tawa antara kami di dalam bas pada pagi itu. Tapi bas yang terhenti-henti cukup memualkan. Saya tertidur sepanjang kekejaman sesakan lalu lintas itu sehingga sampai di DBP. Sehingga petang di DPB, cukup mengindahkan jiwa saya. Pelbagai gambar-gambar yang disatukan dengan dinding dalam banggunan dihiasi gambar peristiwa. Saya dan rakan-rakan berkesempatan menjelajahi ruang yang ada. Aras bawah sekali, terdapat sebuah kedai buku DPB. Tepat sekali di pintu masuk DPB. Semua buku tersusun indah. Rak-rak buku yang cantik menempatkan pelbagai buku yang pastinya mempunyai isian tersendiri. Nama penulis yang gah dan mashyur pastinya berbangga melihat buku mereka tersusun di situ. Tiba-tiba mata mencuri pandangan pada satu sudut. Biasa. Buku-buku tersusun di atas satu meja. Seperti juga satu longgokan mungkin, tapi tersusun. Saya dan rakan-rakan mula mendekati meja itu. Begitu banyak sekali buku-buku hasil tangan penulis tempatan. Nama mereka memang mashyur. Tiba-tiba seorang rakan bertanya akan berapa nilai buku-buku itu. Kami membelek-belek setiap bahagian yang ada pada buku. Tiada tanda harga. Ada sepasang mata terlihat satu notis di hujung meja. Bunyinya begini: "Bertanda Hijau RM1, Bertanda Merah RM2, Bertanda Biru: RM3." Kami mengambil kesempatan membeli buku-buku yang ada. Buku ilmiah dan juga buku hasil kreatif pengkarya tempatan. Berbeza sekali di negara maju, semakin lama keluaran sesebuah buku, semakin tinggi harganya. Mungkin kita negara sedang membangun. Mungkin semua berminat untuk melihat senarai buku termahal dunia, klik di sini.